Dikeluarkan daripada senarai penaja keganasan, bantu Sudan tangani isu hutang

KHARTOUM,. Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok pada Isnin berkata langkah Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan Khartoum daripada senarai penaja keganasan membantu negara ini mengatasi masalah hutang dan memperbaiki persekitaran pelaburan, lapor agensi berita Xinhua.

“Ia hari yang bersejarah. Hari ini kita kembali kepada masyarakat antarabangsa. Keputusan itu membantu pelaksanaan program semasa tempoh peralihan,” kata Hamdok pada sidang media di Khartoum.

Terdahulu, Kedutaan AS di Sudan secara rasmi mengumumkan Sudan dikeluarkan daripada senarai itu.

“Tempoh pemberitahuan kongres selama 45 hari telah tamat dan Setiausaha Negara telah menandatangani pemberitahuan yang menyatakan bahawa Sudan telah dikeluarkan daripada senarai Negara Penaja Keganasan berkuat kuasa hari ini (14 Dis), yang akan dimasukkan dalam Daftar Persekutuan,” memetik laman Facebook kedutaan.

Pada 19 Oktober, Presiden Donald Trump menyatakan akan mengeluarkan Sudan daripada senarai itu selepas negara berkenaan membayar US$335 juta kepada rakyat Amerika yang menjadi mangsa keganasan.

Sudan dimasukkan dalam senarai penaja keganasan pada 1993.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )