Dikhabarkan Coutinho semakin hampir ke Stamford Bridge

Dikhabarkan Coutinho semakin hampir ke Stamford Bridge

LONDON,. Chelsea semakin hampir mencapai persetujuan bagi menandatangani pemain Barcelona yang terpinggir, Philippe Coutinho untuk musim panas ini menurut laporan di Sepanyol.

Coutinho, 27, bergelut untuk menepati jangkaan selepas berhijrah dari Liverpool ke Barca pada 2018 dan dipinjamkan ke Bayern Munich musim panas lalu dalam usaha meningkatkan keyakinan dan mengembalikan kariernya di landasan sebenar.

Perancang Brazil itu menyerlah di Bundesliga – meledak lapan gol dan enam bantuan jaringan sebelum krisis coronavirus merencatkan bola sepak Jerman – namun Bayern tidak akan mengambil pilihan menjadikan ia perpindahan kekal dengan nilai €120 juta euro (RM572.28 juta).

Ini bermakna masa depan Coutinho masih tidak menentu namun bekas pemain tengah Liverpool itu dijangka akan kembali ke Liga Perdana.

Akhbar di Catalan, Sport mendakwa Blues tampak memberikan peluang realistik dan Coutinho kini ‘semakin hampir’ untuk melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge.

Bos Chelsea, Frank Lampard melihat Coutinho sebagai pemain berkaliber yang boleh membawa kelab itu ke persada Liga Perdana bersama Liverpool dan Manchester City.

Laporan itu mendakwa Barcelona sedia menjual Coutinho dengan nilai €90 juta euro (RM429.21 juta) walaupun membayar €160 juta euro (RM763.04 juta) terhadap pemain antarabangsa Brazil itu hanya dua tahun lalu.

Chelsea yakin mereka boleh mendapatkan Coutinho dengan harga lebih murah apabila memikirkan keperluan mendesak Barcelona bagi mendapatkan dana membeli Lautaro Martinez. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)