Diplomat AS perlu kebenaran untuk bertemu pegawai Hong Kong
BEIJING, 28 Sept — Diplomat Amerika Syarikat (AS) perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Luar China jika mahu berurusan dengan pegawai kerajaan Hong Kong dan kakitangan pendidikan di China, lapor agensi berita Sputnik.
Pada awal September, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mengumumkan sekatan baharu, memerlukan diplomat China meminta kelulusan Jabatan Negara sebelum mengunjungi universiti AS, bertemu dengan pegawai tempatan dan mengadakan acara kebudayaan yang dihadiri penonton melebihi 50 orang.
Berikutan itu, China pula mengenakan sekatan terhadap diplomat AS di China termasuk pekerja Konsulat Jeneral AS di Hong Kong, memetik laporan South China Morning Post pada Isnin.
Menurut media itu, langkah-langkah baharu berkenaan mungkin akan diperluaskan kepada pertemuan membabitkan pegawai misi diplomatik AS dengan wakil-wakil parti politik.
Dua minggu lalu, pemimpin Parti Liberal Hong Kong, Felix Chung Kwok-pan, dimaklumkan oleh pihak berkuasa rancangannya untuk bertemu dengan konsul jeneral AS tidak sesuai dengan masa.
Selama beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan AS-China agak meruncing, apabila Washington menuduh Beijing melakukan amalan ekonomi tidak adil, pelanggaran hak asasi manusia dan tidak telus dalam isu berkaitan pandemik COVID-19.
China menafikan tuduhan itu dan sebaliknya menuduh AS yang lebih banyak mencabuli undang-undang antarabangsa.
— BERNAMA