
DPMM FC sah sertai Liga Super 2025-2026
KUALA LUMPUR,. Kelab dari Brunei, DPMM FC sah akan beraksi pada saingan Liga Super musim 2025-2026 yang dijadual akan membuka tirainya Ogos ini.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini memaklumakan DPMM FC bakal beraksi sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut kenyataan itu, DPMM FC bukan nama baharu dalam kancah bola sepak tempatan kerana pasukan Brunei pernah menyertai Piala Malaysia pada tahun 1979 dan kemudiannya menyertai Liga Semi-Pro pada 1989.
“Sebelum dikenali sebagai DPMM FC, pasukan Brunei pernah menjulang Piala Malaysia 1999 selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka dan menamatkan saingan Liga Super 2005-2006 di tangga ketiga,” menurut MFL.
Sementara itu, sebanyak 13 lagi kelab telah memperoleh Lesen Kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super musim 2025-2026, sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa First Instance Body (FIB), semalam.
Kelab terbabit ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan Kelantan Darul Naim FC (Lesen Kebangsaan bersyarat), selain dua pasukan dari AFL A1, Melaka FC dan Imigresen FC.
Dalam perkembangan sama, MFL mengesahkan dua kelab – Perak FC dan Kedah Darul Aman FC – gagal memperoleh Lesen Kebangsaan, membuktikan ketegasan FIB dan MFL dalam menangani isu tunggakan gaji serta mengekalkan tahap integriti dan daya saing liga.
MFL turut mengesahkan pelaksanaan penuh peraturan Kewangan Adil (Financial Fair Play, FFP) musim ini, dengan mekanisme had gaji atau ‘salary cap’ ditetapkan pada 80 peratus daripada bajet tahunan setiap kelab.
“Setiap kelab tidak dibenarkan membelanjakan lebih 80 peratus bajet tahunan untuk pembayaran gaji. Langkah ini penting bagi mengawal aliran tunai dan memastikan pembayaran gaji dibuat secara konsisten,” menurut kenyataan itu.
MFL memaklumkan pemantauan akan dilakukan menerusi dua penyerahan utama sebelum musim bermula iaitu Penyerahan Bajet dan Penyerahan Pra-Musim, serta lima penyerahan berkala sepanjang musim Liga Super.
Unit FFP juga akan meneliti dokumen kewangan termasuk penyata interim, penyata pendapatan dan perbelanjaan serta pengesahan tiada tunggakan kepada kakitangan dan agensi berkaitan.
Tindakan akan diambil terhadap kelab yang gagal mematuhi syarat, selaras peraturan FFP MFL Edisi 2025-2026.
— BERNAMA