Dr Dzulkefly tekad laksana agenda transformasi kesihatan digital

Dr Dzulkefly tekad laksana agenda transformasi kesihatan digital

PUTRAJAYA,. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memulakan tugas secara rasmi hari ini untuk mengemudi semula Kementerian Kesihatan (KKM), menzahirkan tekad untuk melaksanakan agenda transformasi kesihatan digital secara menyeluruh.

Beliau berkata, usaha transformasi berkenaan akan dijayakan bersama-sama Timbalannya Datuk Lukanisman Awang Sauni dan pasukan KKM yang diketuai Ketua Setiausaha, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan saya kembali kemudi dan pimpin KKM.

“Insya-Allah bersama pasukan ini, saya akan galas tanggungjawab besar, amanah berat ini,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KKM hari ini sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.

Beliau yang tiba kira-kira 8.15 pagi di KKM disambut Lukanisman, Zaini dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan kemudiannya menghadiri taklimat ringkas bersama pengurusan tertinggi KKM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pengumuman barisan Kabinet semalam berkata, Dr Dzulkefly diberi kepercayaan untuk kembali menerajui KKM kerana pengalamannya amat diperlukan untuk pengukuhan kementerian itu.

Dr Dzulkefly yang pernah memegang portfolio Menteri Kesihatan pada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, mengambil tempat Dr Zaliha Mustafa yang kini diberi tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)