Dr Mahathir pengerusikan mesyuarat Bersatu Langkawi

Dr Mahathir pengerusikan mesyuarat Bersatu Langkawi

LANGKAWI,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini mempengerusikan mesyuarat tertutup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Langkawi.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir yang juga Ketua Bahagian Bersatu Langkawi dihadiri 70 ahli, melibatkan Ketua-ketua Cawangan, Ahli Jawatankuasa, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi Bersatu Langkawi.

Mesyuarat tertutup yang bermula kira-kira pukul 9.00 malam itu diadakan di sebuah resort di Jalan Kuala Muda di sini, dan ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan Adun Kuah Mohd Firdaus Ahmad.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sebagai rekod Dr Mahathir mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Langkawi selepas diumumkan menang tanpa bertanding jawatan itu.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang Shukor Bahari, Adun Kuah Mohd Firdaus Ahmad dan Yusri Mohd Shahrom.

Pemilihan Bersatu Bahagian Langkawi akan diadakan pada 22 Mac depan.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi tiba petang tadi dan berada di pulau ini untuk menghadiri beberapa acara bermula esok dan Sabtu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)