Dr Mahathir sertai ahli Bersatu dalam majlis doa selamat ulang tahun ketiga parti

Dr Mahathir sertai ahli Bersatu dalam majlis doa selamat ulang tahun ketiga parti

SHAH ALAM,. Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai ratusan ahli parti itu dalam majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun ketiga penubuhan Bersatu.

Majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, turut disertai orang awam.

Dr Mahathir tiba di masjid berkenaan pada kira-kira pukul 7.00 petang disambut oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Dalam Negeri, diiringi Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki, dan diikuti bacaan Yasin serta doa selamat, diakhiri dengan solat Isyak.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Naib Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Ansari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Dr Mahathir kemudiannya menyertai acara sambutan ulang tahun ketiga Bersatu iaitu jamuan makan malam dan ucapan pemimpin parti di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, berdekatan masjid itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)