Dr Wan Azizah ajak umat Islam sambut Maulidur Rasul dengan majlis ilmu

Dr Wan Azizah ajak umat Islam sambut Maulidur Rasul dengan majlis ilmu

KUALA LUMPUR,. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan majlis ilmu serta melakukan amalan kebaikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu, mereka juga perlu beramah mesra bersama golongan kurang bernasib baik, serta mendekati mereka yang masih belum mengenali Islam dan baginda Rasulullah SAW.

“Amalan ini perlu dilakukan agar kehadiran Rasulullah SAW sebagai Rahmatan lil Alamin itu terus dirasai oleh umat sejagat.

“Justeru marilah kita mencontohi sifat kepimpinan Rasulullah SAW dan meneladani kisah perjuangan baginda dalam mencakupi pelbagai aspek kehidupan kita hari ini,” katanya dalam perutusan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan umat Islam bahawa sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar memperingati kisah perjuangan baginda sebagai satu retorika sejarah sebaliknya untuk menginsafi kesukaran laluan perjuangan sebelum menggenggam segunung kejayaan.

Dr Wan Azizah berkata sebagai umat Nabi Muhammad SAW, umat Islam dinasihati untuk merenungi sifat kemanusiaan baginda yang tiada tolok bandingan kerana amat prihatin dengan keperluan serta kelemahan seorang manusia.

“Baginda banyak membimbing berbanding menghukum. Baginda lebih banyak bersimpati berbanding mengkritik atau memarahi. Baginda lebih kerap berdoa kepada Allah SWT demi kesejahteraan umat baginda berbanding doa untuk diri baginda sendiri,” katanya.

Mengakhiri perutusan itu, Dr Wan Azizah mengucapkan, “Salam Maulidur Rasul 1441H”.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )