Dua cedera dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Perancis
LONDON,. Seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun telah ditahan setelah dia melepaskan tembakan rambang dan mencederakan dua orang di sebuah masjid di bandar Bayonne di selatan Perancis pada Isnin, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan media tempatan.
Penyerang, yang merupakan bekas tentera, telah melepaskan tembakan rambang ke arah sekumpulan orang di dalam masjid ketika mereka menunaikan solat dan mencederakan dua lelaki berusia yang kemudian dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius, menurut akhbar Perancis, Sud Ouest.
Penembak, yang setakat ini belum dikenal pasti, ditahan di rumahnya kira-kira 10 kilometer dari Saint-Martin-de-Seignanx selepas melarikan diri dari lokasi kejadian dengan sebuah kereta.
Polis menjumpai selaras senapang dan bom tangan di alamat tersebut, menurut laporan media tempatan.
Lelaki itu mempunyai kaitan dengan pelampau kanan dan bertanding dalam pilihan raya tempatan beberapa tahun lepas bagi Parti Barisan Kebangsaan Marine Le Pen, yang kemudian telah dinamakan semula sebagai Perhimpunan Kebangsaan, menurut laporan media yang memetik kenyataan sumber polis.
Presiden Perancis Emmanuel Macron mengutuk “serangan yang menjelekkan itu” di akaun Twitter dan berkata doa serta ingatan beliau bersama mangsa.
“Republik ini tidak akan bertoleransi dengan (jenayah) kebencian,” kata Macron.
“Segala-galanya akan dilakukan untuk menghukum pelaku dan melindungi saudara kita yang menganut agama Islam,” katanya.
Siasatan berhubung insiden itu masih berjalan.
— BERNAMA