Dua daripada tiga butir peluru dalam badan Norihan berjaya dikeluarkan

Dua daripada tiga butir peluru dalam badan Norihan berjaya dikeluarkan

GEORGE TOWN,. Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, 39, selamat menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga butir peluru dalam badannya akibat ditembak semasa bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup pada awal pagi Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata anggota itu masih belum sedar namun dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Khamis.

“Norihan menjalani pembedahan bermula pukul 1.30 tengah hari dan selesai sepenuhnya pada kira-kira 5.45 petang oleh pasukan perubatan termasuk pakar di HPP.

“Dua butir peluru pada bahagian perut berhampiran tulang belakang berjaya dikeluarkan manakala sebutir peluru berada berdekatan paru-paru belum dikeluarkan lagi… kami masih tunggu maklumat lanjut daripada doktor berhubung perkara itu sama ada perlu pembedahan susulan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata ketika ini, pasukan perubatan termasuk doktor pakar memantau keadaan kesihatan Norihan yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

Semalam, Norihan dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis ke HPP untuk menjalani pembedahan dan menerima rawatan lanjut bagi mengeluarkan tiga butir peluru.

Beliau dibawa dari HTF pada 7.40 malam dengan ambulans yang diiringi kereta peronda polis dan tiba di HPP pada kira-kira 9.20 malam.

Dua ahli keluarga mangsa termasuk isterinya turut mengiringi Norihan ke HPP.

Bernama melaporkan dalam insiden pada kira-kira 2.30 pagi Selasa itu, anggota PGA mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang dinaikkan pangkat kepada sarjan, terbunuh manakala rakannya Norihan cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Baharuddin dan Norihan, dari unit Senoi Praaq PGA Polis Diraja Malaysia dan terlibat dalam pengumpulan maklumat, telah terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup, menyebabkan berlakunya kejadian berbalas tembakan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )