Dua jam lagi ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ cipta rekod MBOR

Dua jam lagi ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ cipta rekod MBOR

KUALA LUMPUR,. ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ terbitan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), telah bersiaran dalam tempoh 24 jam.

Program yang bermula sejak 7 pagi semalam itu akan diteruskan untuk dua jam lagi bagi melengkapkan jumlah keseluruhan program siaran langsung menerusi semua saluran Bernama – Bernama News Channel (BNC), Bernama Radio, Bernama.com serta semua platform media sosial agensi berita itu.

Siaran tanpa henti itu akan diteruskan dengan temu bual bersama bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia serta wawancara bersama penyanyi Datuk Fazley Yaakob dan Datuk ND Lala bagi slot ‘Alunan Suara di Pentas Antarabangsa’.

Baki dua jam siaran langsung itu turut menampilkan penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang akan berlintas langsung dalam slot ‘Special-Grand Finale’.

Program tersebut membuka tirai awal pagi semalam dengan lintas langsung bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad di Kuching, Sarawak, lokasi di mana sambutan Hari Malaysia tahun ini diadakan.

Siaran tanpa henti itu juga menampilkan program bual bicara bersama ahli politik, tokoh korporat, atlet dan selebriti termasuk liputan berita bersempena sambutan Hari Malaysia di Kuching serta di tempat lain.

‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ yang mendapat tajaan Terra Security, Maad Travel dan Fomema Sdn Bhd itu turut menyiarkan pelbagai berita menarik dan lintas langsung melibatkan kira-kira 300 editor/penyunting, wartawan dan wartawan penyiaran, penerbit, jurukamera, kru teknikal serta jabatan lain di bawah Bernama.

Lintas langsung turut melibatkan wartawan di biro-biro seluruh negara serta pewarta di luar negara seperti di Jakarta dan Singapura.

Penonton dan pendengar juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM81,000 termasuk satu pakej percutian untuk dua orang ke Pulau Jeju, Korea Selatan dengan menjawab kuiz mengenai Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Bernama yang ke udara setiap satu jam.

Program itu bersiaran di BNC saluran Astro 502, UnifiTV (631), MYTV (121), iflix, dan Bernama Radio melalui FM93.9 (Kuala Lumpur), FM107.5 (Johor Bahru), FM100.9 (Kuching) dan FM 107.9 (Kota Kinabalu).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )