
Dua kanak-kanak lelaki antara tiga maut dalam insiden tembakan di Rom
ROM: Seorang lelaki menembak dan membunuh dua orang kanak-kanak yang bermain di luar rumah mereka termasuk seorang lelaki tua di sebuah pekan berhampiran Rom kelmarin sebelum kelihatan seperti membunuh diri, menurut pegawai dan media.
Datuk bandar tempatan, Mario Savarese menyatakan lelaki bersenjata dan mangsa-mangsa tersebut – dilaporkan sebagai dua beradik berusia lima dan 10 tahun, serta seorang lelaki berusia 84 tahun – adalah dari kawasan perumahan yang sama di Ardea, di mana tragedi berlaku.
Penembak telah bersembunyi di dalam sebuah apartmen berhampiran selama tiga jam ketika pihak perunding cuba untuk memujuk dia agar keluar.
Anggota polis bersenjata akhirnya menyerbu masuk ke dalam dan menemui mayatnya, kata agensi berita Ansa.
Keterangan beberapa orang saksi kepada media Itali mencadangkan dia sebelum ini telah mengalami masalah kesihatan mental. Dia kelihatan seperti menembak secara rambang ketika dia menembak mengenai kanak-kanak lelaki yang bermain di sebuah taman dan seorang lelaki yang mengayuh basikal melalui kawasan tersebut.
Alessio D’Amato, pesuruhjaya kesihatan bagi wilayah tempatan Lazio, mengesahkan kematian kanak-kanak tersebut selepas mereka dibawa ke hospital.
“Saya telah menerima satu panggilan telefon yang saya tidak pernah ingin terima,” menurut beliau dalam satu kenyataan.
Beliau menambah: “Saya berasa sangat terkejut dengan apa yang telah berlaku dan menyuarakan seluruh kekesalan saya dan ucapan takziah seikhlas hati saya kepada keluarga dan seluruh komuniti Ardea, yang pada hari ini sedang dalam keadaan berkabung sepenuhnya untuk tragedi tersebut.
— Agensi