Dua lagi PPS banjir dibuka di Perak akibat hujan lebat

IPOH,. Hujan lebat petang ini menyebabkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baharu terpaksa dibuka masing-masing sebuah di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Kerian menjadikan jumlah PPS yang beroperasi bertambah kepada empat.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, setakat pukul 9.30 malam ini, jumlah keseluruhan penduduk yang terjejas banjir di kedua-dua daerah itu adalah seramai 289 orang meningkat berbanding 199 orang tengah hari tadi.

Katanya bagi LMS, seramai 42 mangsa ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang manakala 56 lagi di PPS yang baharu dibuka pukul 4 petang tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tinggi, Selama menjadikan jumlah keseluruhan penduduk terjejas di daerah itu seramai 90 orang.

Sementara itu, PPS yang baharu dibuka pukul 5 petang ini di Daerah Kerian adalah di SK Changkat Lobak, Bagan Serai menempatkan 39 mangsa banjir manakala jumlah penghuni di PPS SK Parit Haji Aman kekal 152 orang sejak semalam.

“Operasi memindahkan penduduk dan penugasan di PPS melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba, polis, dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )