Dua penerbangan di LTSAS dibatalkan akibat jerebu

IPOH,. Dua daripada lima penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan hari ini akibat jerebu.

Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata penerbangan yang dibatalkan melibatkan empat pergerakan bagi laluan Johor Bahru-Ipoh-Singapura dan Singapura-Ipoh-Johor Bahru daripada syarikat AirAsia Bhd yang dijadualkan pada pagi dan tengah hari ini.

“Jarak penglihatan adalah 3,000 meter setakat pukul 7.30 pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 480 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan itu.

Bagaimanapun katanya, pihak LTSAS sentiasa melakukan pemantauan keadaan semasa bersama pihak berkaitan termasuk pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia dan kawalan trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Pemeriksaan dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen di Perak iaitu Seri Manjung; Pegoh, Ipoh; Tasek, Ipoh dan Taiping adalah pada tahap tidak sihat manakala Tanjung Malim pada tahap sederhana setakat pukul 7 pagi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )