Dua wanita warga China sudah pulang ke negara asal – Azam Baki

Dua wanita warga China sudah pulang ke negara asal – Azam Baki

PUTRAJAYA,. Dua wanita warga China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu sudah pulang ke negara asal semalam.

Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki selepas dimaklumkan kepulangan wanita berkenaan oleh pihak KLIA.

“Keterangan daripada dua wanita tersebut sudah diambil dan kita tidak boleh melarang mereka balik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di sini, semalam.

Azam berkata setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan seramai 14 individu melibatkan dua wanita warga China itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, lapan pegawai Jabatan Imigresen dan beberapa saksi lain.

Media sebelum ini melaporkan kekecohan berlaku di KLIA melibatkan orang kenamaan dikatakan cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan, Khamis lalu.

Kejadian berkenaan turut tular menerusi media sosial apabila orang kenamaan berkenaan dikatakan masuk ke ruang balai ketibaan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Menjelaskan lebih lanjut, Azam berkata isu rasuah timbul selepas salah seorang wanita itu dihubungi seorang lelaki warga China yang mengaku sebagai ejen sebuah syarikat yang dilantik pihak pengurusan KLIA untuk menguruskan kes yang dikenakan perintah Not-To-Land (NTL) oleh Jabatan Imigresen.

“Saya mengesahkan ada pihak luar yang terlibat menghubungi wanita terbabit bagi tujuan mendapatkan antaranya membantu membeli tiket kapal terbang dan menetapkan satu harga caj pengurusan… jadi kita akan jalankan siasatan dan dapatkan ejen tersebut,” katanya.

Beliau berkata siasatan SPRM mendapati terdapat syarikat dipertanggungjawabkan mengurus pelancong asing yang dikenakan perintah NTL di KLIA sejak 2017.

Namun, syarikat itu sedang dikenal pasti oleh SPRM sama ada ia diwujudkan dengan mematuhi prosedur atau kontrak yang betul atau sebaliknya, katanya.

Azam berkata seramai 41 warga China termasuk wanita yang terlibat dengan insiden berkenaan dikenakan perintah NTL pada hari kejadian namun setakat ini SPRM tidak menerima sebarang aduan daripada 40 yang lain.

“SPRM juga sedang meneliti sistem dan prosedur berhubung dengan pengeluaran perintah NTL termasuk proses yang perlu dipatuhi sehingga wanita warga China itu akhirnya dibenarkan masuk,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam mengesahkan pihaknya sudah mendapat maklumat pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi meluluskan permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

“Kita akan memulakan tindakan siasatan secepat mungkin,” katanya.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau menerima aduan yang dibuat terus kepadanya berhubung dakwaan rasuah membabitkan pegawai JPN dipercayai menghubungi pemohon dan meminta sejumlah wang bagi mendapatkan dokumen kelulusan seperti kelulusan kewarganegaraan dan sijil lahir.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )