DUN PERAK: Ahmad Faizal gagal dapat sokongan majoriti semalam

DUN PERAK: Ahmad Faizal gagal dapat sokongan majoriti semalam

IPOH,. Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ (undi percaya) yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

Dalam undi sulit terhadap usul itu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya menerima 10 undi menyokong beliau sebagai menteri besar, manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

Usul tersebut dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Abd Manap Hashim.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN BN yang kesemuanya daripada UMNO, 16 daripada DAP, BERSATU (5), AMANAH (5), PKR (3), PAS (3), GERAKAN dan Bebas masing-masing satu.

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan keputusan undi yang dijalankan secara bertulis itu.

Sementara itu, Abd Manap ketika membentangkan usul tersebut, berkata beliau mahu membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan majoriti dan keyakinan ADUN untuk menerajui kerajaan negeri.

Ini kerana isu ‘kerajaan pintu belakang’ sering ditimbulkan oleh pembangkang, katanya.

Abd Manap berkata sekalipun pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak sah dari segi undang-undang tubuh negeri, beliau berasakan langkah kedua terbaik ialah “kita sahkan kepimpinan (kerajaan) Perak melalui Dewan ini.”

“Jika kita lihat parti besar (UMNO) yang sokong Perikatan Nasional (PN) di Perak seolah-olah ada masalah dengan menteri besar, maka medan yang paling baik ialah selesaikan di dalam Dewan ini. Maka, hari ini (semalam) kita tentukan secara tuntas sama ada ADUN Chenderiang ada keyakinan majoriti atau tidak,” katanya.

Terdahulu, ketika memulakan sesi persidangan, Mohammad Zahir memaklumkan mesyuarat bahawa semalam kerajaan negeri akan membentangkan belanjawan negeri.

Katanya beliau juga ada menerima usul mengenai undi percaya kepada menteri besar daripada Abd Manap namun beliau memutuskan untuk menolak usul itu bagi mendahulukan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 negeri berkenaan.

Keputusan speaker itu menyebabkan Salbiah Mohamed (BN-Temengor) bangun meminta agar usul undi percaya kepada menteri besar tersebut didahulukan.

Gesaan Salbiah disokong oleh Howard Lee Chuan How (PH-Pasir Pinji).

Salbiah dan Lee sepakat bahawa Dewan perlu membuktikan Ahmad Faizal mempunyai keyakinan majoriti sebagai Menteri Besar Perak agar keraguan terhadap peneraju kerajaan negeri itu dapat dipadamkan.

Susulan itu, Mohammad Zahir menyerahkan kepada ahli Dewan untuk memutuskan perkara berkenaan, menyaksikan suara majoriti bersetuju agar usul percaya terhadap Ahmad Faizal didahulukan.

Berdasarkan aturan mesyuarat DUN Perak, usul tersebut ada dalam senarai namun tidak ada tarikh pembentangan. Menurut jadual, persidangan kali ini berlangsung selama lima hari, bermula semalam sebelum bersambung pada Selasa hingga Jumaat depan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)