Dunia tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghentikan kebakaran hutan – Dr Mahathir

NEW YORK,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sistem antarabangsa ketika ini wujud dalam keadaan di mana tiada apa yang dapat dilakukan dunia bagi memaksa Indonesia menangani kebakaran hutan yang berleluasa yang mengakibatkan fenomena jerebu di kawasan tertentu di Asia Tenggara.

Beliau turut menyamakan keadaanya dengan kebakaran hutan yang berlaku di Brazil.

“Sebagaimana yang anda semua tahu Presiden Brazil yang baharu percaya kepada pembakaran hutan sebagai aktiviti untuk pertanian, dan tiada siapa yang boleh menghalang beliau setakat ini. Jadi saya rasa sistem semasa tidak membenarkan kita untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

“… anda boleh salahkan Indonesia, anda boleh mengkritik mereka, tetapi mereka akan terus dengan pembakaran mereka,” katanya di sesi dialog Forum Pemimpin Dunia yang berlangsung di Universiti Columbia di sini, Rabu.

Dr Mahathir ditanya sekiranya tindakan lebih keras seperti sekatan ekonomi atau menggunakan komuniti antarabangsa untuk berhadapan dengan Indonesia akan dapat membantu masalah menangani masalah jerebu, susulan keadaanya yang cukup serius.

Perdana Menteri berkata akan tiba masanya nanti pembakaran hutan akan menjadi teramat serius sehingga seluruh dunia diliputi jerebu.

“Ketika itu saya rasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mungkin akan berkata – ini bukan lagi hal dalaman negara semata-mata, ini sudah menjadi masalah dunia (untuk mengatasinya) dan dunia seharusnya melaksanakan hak mereka untuk mengambil tindakan.

“Sekiranya kita mempunyai pandangan yang sebegini, kemudian barulah kita boleh berbuat sesuatu apabila seseorang enggan menerima bantuan untuk memadamkan kebakaran misalnya,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata ketika ini “PBB tidak dapat berbuat apa-apa, tapi kita perlu cuba memujuk”.

Katanya beliau faham Indonesia juga menenerima kesan jerebu yang serius, dan ini mungkin akan membawa kepada pendirian yang lebih tegas berhubung usaha mengawal kebakaran hutan di negara mereka.

— BERNAMA

Daripada Abdul Muin Majid

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )