ECP diperkenal secara berperingkat bermula musim depan

ECP diperkenal secara berperingkat bermula musim depan

KUALA LUMPUR,. Sistem Kawalan Ekonomi (ECP) untuk pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) akan diperkenalkan secara berperingkat bermula musim depan sebelum pelaksanaan menyeluruh pada musim 2021.

Langkah itu bertujuan memudahkan pasukan bertanding selaku rakan kongsi memahami konsep ECP dengan lebih mendalam, menurut badan pentadbir Liga-M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang memutuskan perkara itu dalam mesyuarat lembaga pengarahnya semalam.

Penerangan secara menyeluruh kepada semua pasukan akan dilakukan pertengahan November ini menerusi satu seminar yang dikendalikan oleh wakil perunding ECP PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd, pengelola Liga Sepanyol, La Liga dan MFL.

“MFL optimis ECP yang sebelum ini telah dipraktikkan di La Liga, bakal menjadi satu anjakan paradigma bola sepak tempatan dalam usaha mendidik semua pasukan Liga-M berbelanja lebih berhemat dan bebas hutang membabitkan tunggakan gaji,” menurut MFL dalam satu kenyataan hari ini.

Turut diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin itu adalah kelayakan kejurulatihan Lesen B dan ke atas sahaja layak berdaftar dan memegang jawatan di dalam pasukan.

MFL juga membuka ruang buat pasukan yang ingin mendaftar pembantu jurulatih penjaga gol dalam pasukan dengan menepati syarat kelayakan seperti jurulatih penjaga gol iaitu Lesen B dan Sijil Kejurulatihan Penjaga Gol Tahap 2.

Bagi pendaftaran fisioterapi pasukan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menetapkan bahawa kesemua fisioterapi yang ingin berdaftar dengan pasukan wajib berdaftar dengan Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA).

Kenyataan itu turut menyentuh berkenaan pasukan utama dan pasukan simpanan di mana mesyuarat memutuskan tiada had transaksi pemain di luar tempoh perpindahan antara pasukan utama dan simpanan seperti sebelum ini yang hanya membenarkan lima transaksi sahaja.

Mengenai hukuman denda kesalahan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP), MFL memutuskan untuk meminda prosedur terdahulu.

“Surat peringatan kepada pasukan akan dikeluarkan bagi insiden pertama disusuli denda RM2,500 (insiden kedua), denda RM5,000 (insiden ketiga) serta keputusan tindakan akan diambil bagi insiden keempat dan seterusnya membabitkan kesalahan OTP secara berulang,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, MFL telah menyelesaikan tajaan jangka masa panjang dengan penstrukturan semula hak siaran serta beberapa kontrak tajaan yang sedang dimuktamadkan presiden MFL hasil daripada rundingan awal Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )