Ekonomi Madani : Apa yang anda faham?
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Bin Inrahim telah memperkenalkan konsep Ekonomi Madani pada 27 Julai 2023 bagi mengetengahkan cabaran dan halatuju ekonomi Malaysia bagi merancakkan ekonomi negara.
PMX berhasrat supaya Malaysia menjadi 30 ekonomi terbesar di dunia. Satu impian yang sangat tinggi tapi bukan mustahil.
Malaysia telah menunjukkan pencapaian dan peningkatan yang amat memberangsangkan sejak awal tahun ini.
Kadar inflasi negara telah menurun kepada 2.4 peratus pada Jun 2023. Kadar pengangguran pula berada pada tahap 3.5 peratus.
Pelaburan Malaysia pula telah meningkat kepada RM71.4 billion pada suku pertama 2023. Kadar indeks harga pengguna pula telah reda kepada 3.2 peratus.
Bukankah ini menunjukkan satu peningkatan yang sangat baik berbanding dengan tahun-tahun yang lepas. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini, maka terbuktinya konsep Kerajaan Perpaduan yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang lestari.
YAB PM telah mengariskan beberapa keberhasilan yang ingin dikecapi oleh Malaysia. Antaranya ialah:
– Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia
– Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan
– kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh sebanyak 60%
– indeks pembangunan manusia di tangga 25 teratas dunia
– indeks persepsi rasuah di tangga 25 teratas dunia
– kemampuan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah
Sasaran-sasaran ini adalah bukan rekaan semata-mata malah kerajaan telah mengorak langkah untuk merealisasikannya. Pelan Induk Perindustrian yang baharu akan dilancarkan pada bulan hadapan untuk memacu pertumbuhan industri berteknologi tinggi bagi bersaing dengan kuasa ekonomi yang lain.
Kajian pertengahan tahun RMK-12 pula akan dilakukan bagi menilai keberkesanan RMK tersebut.
Namun, terdapat beberapa tugasan yang harus dilakukan bagi melaksanakan kesemua rancangan ekonomi yang telah disediakan sehingga kini. Dasar Perburuhan Negara perlu dirangka bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja tempatan dalam sektor yang melibat kerja-kerja 3D.
Kebergantungan tenaga buruh asing juga perlu dinilai semula dengan merombak semula sistem pengajian di Malaysia supaya orang tempatan dapat mengambil alih kerja-kerja yang dilakukan oleh warga asing. Sistem jaringan keselamatan sosial juga harus diperkemaskan supaya orang awam tidak hanya bergantung kepada KWSP sebagai simpanan hari tua mereka. PERKESO juga harus ditambah baik bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaatnya.
Selain datipada itu, dasar pendidikan TVET juga harus diperkemaskan supaya ia menjadi pemangkin kepada tenaga buruh di Malaysia. Sistem kemahiran kendiri harus diperkenalkan bagi memastikan belia dan anak-anak muda kita memiliki kemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh negara.
Kerajaan Perpaduan yang kini memerintah negara telah merancang dan memperkenalkan inisiatif- inisiatif ekonomi yang baharu bagi merancakkan semula ekonomi negara. Saya yakin sekiranya pelan tindakan yang sewajarnya dibuat, maka negara kita boleh mencapai pertumbuhan ekonomi melebihi 5 peratus.
Oleh yang demikian, ayuh kita mempertahankan kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri perpaduan bagi menjayakan misi Malaysia yang telah dirancangkan oleh Perdana Menteri ke-10 negara tercinta kita.
*Kenyataan oleh Ganabatirau Veraman Ahli Parlimen Klang