Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara mampan pada separuh kedua 2019

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara mampan pada separuh kedua 2019

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang secara mampan bagi separuh kedua 2019 susulan pertumbuhan eksport lebih baik berbanding jangkaan pada Julai serta peningkatan 97.2 peratus bagi pelaburan asing yang diluluskan pada separuh pertama tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata eksport Malaysia pada Julai 2019 meningkat 1.7 peratus kepada RM88.0 bilion daripada RM86.5 bilion setahun yang lepas meskipun suasana antarabangsa kekal mencabar akibat ketegangan perdagangan yang meruncing dan kelembapan pertumbuhan ekonomi global.

“Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara mampan dalam suku ketiga 2019, setelah Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang pesat pada kadar 4.9 peratus pada suku kedua,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Julai 2019, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM81.6 bilion, iaitu 15.9 peratus lebih tinggi daripada RM70.5 bilion yang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Julai 2018.

“Imbangan dagangan yang sihat ini akan mengekalkan akaun semasa negara dalam keadaan lebihan untuk tahun ini, dan melindungi ekonomi domestik daripada ketidaktentuan yang meningkat akibat faktor global berikutan perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang berlarutan,” katanya.

Beliau berkata eksport Malaysia ke China dan AS pada Julai 2019 masing-masing meningkat 3.8 peratus dan 7.9 peratus berbanding setahun lepas susulan lencongan dagangan.

Bank Negara Malaysia dalam laporannya baru-baru ini menyatakan Malaysia telah memperolehi pasaran import China dan AS yang lebih besar untuk barangan tertentu, katanya.

“Dalam tempoh Julai 2018 sehingga April 2019, penguasaan Malaysia bagi import alatan semikonduktor fotosensitif dan diod-transisor oleh AS masing-masing meningkat sekitar 10 peratus dan enam peratus.

“Dalam tempoh yang sama, penguasaan Malaysia bagi barangan petrokimia yang diimport China meningkat hampir 25 peratus,” katanya.

Lim berkata Malaysia juga mendapat manfaat daripada lencongan pelaburan malah data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia menunjukkan pelaburan asing yang diluluskan untuk separuh pertama 2019 meningkat 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion pada tahun lepas.

Pelaburan pembuatan yang diluluskan dari AS melonjak kepada RM11.7 bilion pada tempoh yang sama daripada RM307 juta tahun lepas, katanya.

“Lonjakan dalam pelaburan diluluskan dari AS untuk separuh pertama 2019 menunjukkan keyakinan pelabur negara maju itu terhadap Malaysia.

“Keyakinan ini juga dicerminkan oleh syarikat AS yang beroperasi di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan kaji selidik oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia, pada 2019, 76 peratus daripada 37 syarikat yang dikaji, termasuk Agilent, Dell, Freescale, Motorola, Texas Instruments dan Western Digital menyatakan mereka merancang untuk mengembangkan pelaburan di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kerajaan akan meneruskan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dari China dan AS ke dalam negara untuk menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi untuk seluruh rakyat.

“Kementerian Kewangan juga akan mengawasi keadaan ekonomi negara secara teliti supaya langkah mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dapat diambil segera jika perlu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)