Ekuiti tempatan alami tekanan dari pelbagai sudut

Ekuiti tempatan alami tekanan dari pelbagai sudut

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Peningkatan keuntungan luar biasa membabitkan saham-saham sarung tangan, yang mendapat manfaat daripada krisis kesihatan telah meletakkan pasaran saham Malaysia pada kedudukan yang kukuh, sekali gus mendorongnya untuk muncul sebagai salah satu bursa paling kuat di Asia.

Namun begitu, tekanan dapat dirasai dan menjalar masuk dari pelbagai sudut.

Pasaran saham mengalami kemerosotan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh kebimbangan yang kian meningkat dalam persekitaran pasaran tempatan.

Data Bloomberg menunjukkan bahawa penjualan asing saham-saham Malaysia meningkat minggu lalu, dengan aliran keluar mencapai AS$5 bilion setakat tahun ini — kadar terpantas sejak 2015.

Sementara saham berkaitan penjagaan kesihatan terus menjadi kegemaran pelabur runcit tempatan dan asing, kaunter kewangan sebaliknya pula mengalami tekanan dengan mencatatkan penurunan minggu ke minggu.

Pelabur runcit cari keuntungan

Terdapat dua jenis pelabur dalam pasaran ekuiti iaitu pelabur institusi (berkaitan kerajaan, dana pencen, dana amanah) dan pelabur runcit atau pelabur individu.

Sementara pelabur institusi cenderung memberikan sokongan kepada pasaran tempatan semasa penurunan untuk keuntungan jangka panjang, pelabur runcit pula lebih kepada melabur untuk keuntungan jangka pendek.

Menurut data dalam tempoh Isnin hingga Khamis, sejumlah RM217.9 juta aliran keluar runcit telah dicatatkan sementara aliran keluar dana asing pula sebanyak RM225.6 juta.

Kegiatan jualan secara besar-besaran dapat disaksikan pada kaunter-kaunter di Pasaran Ace pada hari Khamis dan Jumaat selepas negara dikejutkan dengan pengumuman berkaitan situasi politik tempatan.

Bagaimanapun pada Jumaat, beberapa kaunter terpilih bangkit kembali dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI mengakhiri urus niaga lebih tinggi pada 1,509.14, meningkat 8.34 mata. Peningkatan semula ini dipacu terutamanya oleh Hartalega dan Top Glove walaupun 19 kaunter lain berada dalam zon merah.

Seorang penganalisis berkata dalam minggu-minggu mendatang, beberapa aspek penting perlu dipantau kerana bursa tempatan dijangka berada dalam situasi tidak menentu yang berterusan.

“Dengan berakhirnya moratorium pada 30 September ini, saham perbankan dijangka mengalami kemerosotan berikutan kebimbangan berlakunya peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar seiring dengan prestasi bank global.

“Ini boleh menjuruskan kegiatan menjual untuk mendapatkan keuntungan dalam kalangan pelabur runcit terutamanya ke atas saham bermodal kecil dan sederhana,” kata beliau.

Beliau menambah kestabilan politik tempatan turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur terutamanya bon-bon MGS.

“Kestabilan dalam pasaran tempatan penting kerana sebarang berita tidak menyenangkan boleh mengehadkan keuntungan di pasaran modal,” jelas beliau.

Prestasi pasaran secara keseluruhan

Di FBM KLCI, bursa tempatan kini berhadapan paras halangan semerta pada 1,520 dengan sokongan pada 1,480.

“Indeks Kekuatan Relatif (RSI) telah menunjukkan kedudukan saham KLCI yang terlebih jual walaupun kaunter sarung tanganlah yang menjadi penggerak utama indeks,” katanya.

Beliau menambah saham perbankan, didahului oleh gergasi perbankan tempatan Maybank telah menyaksikan permodalan pasarannya merosot kepada RM79.58 bilion selepas beberapa siri penurunan berterusan sejak COVID-19 menggegarkan pasaran global, sama seperti saham perbankan asing.

“Namun, apabila dibandingkan dengan bank asing, institusi kewangan tempatan terlindung daripada kejutan yang teruk kerana kedudukan kewangannya yang kuat, ”katanya.

Bagi kaunter berkaitan penjagaan kesihatan, kaunter-kaunter ini terus menarik minat yang kuat dari dari pelabur domestik dan asing memandangkan kebimbangan terhadap COVID-19 tetap tinggi sementara keyakinan mendapatkan vaksin kembali neutral kerana ia masih lagi dalam fasa percubaan.

Untuk kaunter berkaitan tenaga pula, ia terus tidak menentu kerana harga minyak masih lemah kerana permintaan yang hambar.

“Prospek untuk sektor pengangkutan dan penerbangan masih lagi samar-samar kerana ia kini diletakkan di bawah garis masa yang tidak diketahui, tertakluk kepada pembukaan semula sempadan global selepas berakhirnya COVID-19,” kata beliau.

Penanda aras minyak mentah Brent berada pada harga AS$41.90 setong ketika ditutup pada Jumaat.

Melangkah ke hadapan

Sama seperti pasaran global yang akan terus dipengaruhi oleh perkembangan COVID-19 iaitu daripada kes jangkitan sehinggalah kepada perkembangan vaksin — begitu juga dengan bursa tempatan.

Selain COVID-19, perang teknologi antara Washington-Beijing yang sedang berlangsung akan terus memberi tekanan kepada saham teknologi kerana indeks petunjuk tempatan sentiasa memantau pergerakan NASDAQ.

Pilihan raya AS yang akan datang juga membuatkan para pelabur lebih peka. Pasaran yang baharu menjadi tumpuan juga tidak sabar menanti untuk melihat hala tuju ekonomi seterusnya yang bakal diambil oleh Rumah Putih.

Dari sudut pandangan tempatan, keputusan FTSE Russel untuk mengekalkan Malaysia dalam senarainya telah menyediakan ruang “kelegaan” jangka pendek untuk menarik pelabur.

Bagaimanapun, pasaran mungkin akan kekal dalam situasi tidak menentu sehingga selepas Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 Nov depan dan selepas selesainya segala ketidakpastian politik dalam negara..

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )