Emir Kuwait terima rawatan, pertemuan bersama Trump ditangguh
KUWAIT CITY,. Pemerintah Kuwait, Emir Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah dimasukkan ke hospital di Amerika Syarikat (AS) bagi menjalani ujian perubatan, kata pegawai kanan negara itu semalam.
Susulan itu, pertemuan baginda bersama Presiden AS, Donald Trump yang dijadualkan pada 12 September terpaksa ditangguhkan, kata Menteri Hal Ehwal Istana, Sheikh Ali Jarrah Al Sabah.
“Sheikh Sabah Al Ahmad Al Jaber Al Sabah dimasukkan ke hospital di AS untuk ujian perubatan, justeru pertemuan yang sudah diatur bersama Presiden Donald Trump terpaksa disusun semula,” katanya dipetik agensi berita rasmi KUNA.
Beliau menambah, tarikh baharu untuk pertemuan berkenaan akan diumumkan kemudian.
Rumah Putih mengesahkan pertemuan bersama Trump itu sudah ditangguhkan ke satu tarikh lain menerusi satu kenyataan yang antara lain turut mendoakan kesihatan Sheikh Sabah.
“Presiden berharap rakannya segera sembuh dan mengalu-alukan kedatangan baginda ke Washington sebaik sahaja baginda pulih,” kata kenyataan itu.
Sheikh Ali bagaimanapun tidak menjelaskan dengan terperinci ujian perubatan dilakukan Sheikh Sabah atau tarikh sebenar baginda dimasukkan ke dalam hospital.
KUNA pada 18 Ogos melaporkan bahawa pemerintah Kuwait berusia 90 tahun itu semakin pulih dan berada dalam kesihatan yang baik. – AFP