Empat anggota direman bantu siasatan bekal barang terlarang kepada tahanan lokap

Empat anggota direman bantu siasatan bekal barang terlarang kepada tahanan lokap

MELAKA,. Empat anggota polis direman tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima upah sebagai orang tengah membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap.

Perintah reman ke atas kesemua tertuduh berumur antara 35 dan 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin di Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini.

Siasatan ke atas kesemua anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di sebuah balai di Alor Gajah itu dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Kesemua anggota tersebut didakwa membawa masuk bekalan bahan terlarang seperti dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan lokap di balai mereka bertugas dan dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 menerusi kira-kira 20 transaksi sepanjang 2019 hingga 2020 sama ada secara dalam talian atau tunai.

Kesemua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka petang semalam.

Terdahulu mereka tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna jingga.

Dalam pada itu Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)