Empat anggota sindiket dadah ditahan

Empat anggota sindiket dadah ditahan

KUALA LUMPUR,. Sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang tumpas selepas tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil di sini, 16 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM204,943 daripada suspek berusia 28 hingga 45 tahun itu.

“Kesemua dadah itu membabitkan syabu seberat 5,182 gram, serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (299.4 g), pil eramin 5 (0.3 g), pil ekstasi (5.7 g), Lysergic Asid Diethylamide (sekeping) serta 0.6 gram ketamin,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini semalam.

Anuar berkata dadah tersebut mampu dibekalkan kepada 10,600 penagih dan berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kesemua mereka terbabit dalam sindiket berkenaan sejak enam bulan lepas.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes-Benz, Perodua Alza serta Honda City.

Keseluruhan nilai rampasan itu dianggarkan sebanyak RM428,166 dan kesemua mereka kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Dalam kes berasingan, Anuar berkata pihaknya menahan lapan lelaki yang aktif mencuri tabung ekzos kenderaan dalam serbuan berasingan di Taman Desa di sini, Batu Caves, Selangor dan Kota Pedamar, Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

Beliau berkata kesemua yang berusia 21 hingga 32 tahun itu dipercayai mencuri tabung ekzos itu daripada kereta yang diletakkan di tepi jalan dan kemudian menjualnya kepada pembeli dari Jepun dan Jerman.

“Siasatan kami mendapati suspek berusia 26 tahun yang ditahan di Kota Pendamar berperanan sebagai pengeksport barangan curi berkenaan untuk diproses bagi menghasilkan emas putih,” katanya sambil menambah kesemua ekzos itu dijual untuk pasaran luar negara.

Selain itu, polis turut merampas pelbagai peralatan mencuri tabung ekzos tersebut yang membabitkan 30 penapis ekzos, 31 tabung ekzos serta sebuah lori yang dianggarkan bernilai RM119,310.

Anuar berkata kesemua mereka direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )