Empat atlet karate wanita ‘naik pangkat’ ke Program Podium
KUALA LUMPUR,. Skuad karate kebangsaan bakal menerima nafas baharu apabila empat atlet wanita dijangka diserapkan ke dalam Program Podium tahun depan sebagai usaha memantapkan pasukan negara.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata empat individu terbabit merupakan atlet pembangunan yang dicadang ‘naik pangkat’ ke program kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan positif tersebut, Nur Azmi memaklumkan terdapat empat nama turut dicadang untuk digugurkan daripada Program Podium.
“Akhirnya atlet di peringkat pembangunan dinaikkan kepada Program Podium dan sekarang kita mendapat satu pasukan pembangunan yang begitu baik,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa (JKK) Sukan di MSN, di sini pada Rabu.
Menerusi senarai cadangan dikemukakan MAKAF kepada MSN, empat atlet itu membabitkan atlet wanita Lovelly Anne Robberth, Niathalia Sherawinnie Yampil, Naccy Elly Evvaferra Rojin dan Zakiah Adnan.
Katanya, pihaknya akan menilai terlebih dahulu senarai dicadang untuk digugurkan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
“Setakat ini yang digugurkan kita bagi tempoh pengesahan kepada mereka.
“Ada yang cedera, ada yang mempamerkan prestasi tidak berapa baik… jadi kita akan tunggu sehingga Kejohanan Karate Terbuka MMAKAF di Kuala Lumpur pada Februari dan Kejohanan Karate-do Asia Tenggara (SEAKAF) di Thailand pada April nanti,” katanya.
— BERNAMA