Empat blok pangsapuri runtuh, tiga maut, tujuh masih hilang

Empat blok pangsapuri runtuh, tiga maut, tujuh masih hilang

ROME: Anggota bomba Itali di pulau Sicily menggeledah timbunan runtuhan sejak kelmarin untuk mangsa yang terselamat daripada letupan besar yang meruntuhkan beberapa blok pangsapuri dan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut.

Walaupun dua wanita ditemui hidup dalam runtuhan bangunan di bandar selatan Ravanusa itu, tujuh mangsa masih hilang dan unit perlindungan awam Sicily telah mengesahkan tiga kematian.
Letupan itu yang tercetus sekitar jam 7.30 petang Sabtu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas dan telah meranapkan empat bangunan di daerah Ravanusa, sebuah bandar dengan hampir 11,000 penduduk.

Imej televisyen menunjukkan runtuhan besar, rasuk kayu dan besi remuk, dengan bangunan bersebelahan hangus dan musnah. Pasukan penyelamat bomba terus menggeledah sisa runtuhan, mengalih runtuhan konkrit dan runtuhan lain, tetapi tanpa tanda-tanda mangsa terselamat lain.

“Sejak pagi ini setelah kami menyelamatkan dua wanita, sekarang kami belum mendengar isyarat dari bawah runtuhan,” Luca Cari, jurucakap anggota bomba kebangsaan Itali, memberitahu televisyen Sky TG24.

“Ini tidak bermakna bahawa kami telah berputus asa namun masa yang berlalu tidak memihak kepada kami.” Unit perlindungan awam berkata, empat bangunan terjejas dalam kejadian itu, tetapi laporan berita tempatan mengatakan jumlahnya lebih tinggi.

Rakaman dron yang dimuat naik dalam laman Twitter bomba menyaksikan asap masih berkepul daripada tapak runtuhan, manakala bangunan bersebelahan menunjukkan tanda-tanda kerosakan termasuk bumbung separuh robek.

Anggota bomba menggunakan jentolak untuk mengalih longgokan runtuhan konkrit yang menghempap kereta dan dapat dilihat perkakas domestik seperti ketuhar, penghawa dingin dan peti sejuk. Gelombang kejutan kuat bahana letupan itu dirasai sejauh 100 meter, kata Salvatore Cocina, ketua unit perlindungan awam tempatan.

Pihak berkuasa menjelaskan letupan itu mungkin disebabkan oleh kebocoran gas dan siasatan telah dibuka.

“Gas itu mungkin menemui rongga di mana ia berkumpul,” ketua anggota bomba di wilayah Agrigento, Giuseppe Merendino, memberitahu saluran TV Rainews24. “Poket gas ini kemudiannya menemui pemangkin secara tidak langsung, mungkin kereta, lif atau peralatan elektrik (yang mencetuskan gelombang elektromagnet dan percikan).”

Kedua-dua wanita yang hidup di bawah runtuhan itu ditemui oleh anjing pengesan, kata Merendino. “Kerja sangat sukar kerana bangunan yang runtuh menimpa runtuhan bangunan yang lain,” katanya.

“Kita perlu mencari ruang antara runtuhan untuk mencari mangsa yang hilang,” katanya. “Malangnya, anjing-anjing itu tidak dapat memberi kami petunjuk lagi dan kita perlu mencari dengan kaedah lain.”

Tidak lama selepas letupan itu, Datuk Bandar Ravanusa Carmelo D’Angelo merayu di Facebook kepada semua orang yang memiliki penyodok dan jentolak untuk turut sama membantu. “Ada bencana,” katanya.

Kira-kira 50 orang telah dipindahkan akibat kejadian itu.

Sicily, salah satu wilayah termiskin di Itali, hidup dengan infrastruktur kurang menepati piawaian dan usang. Kebanyakan rumah dan bangunan lain yang dibina pada dekad lalu menggunakan bahan-bahan murah dan tidak menepati piawaian, menyebabkan ia lebih mudah runtuh, selalunya akibat kontrak pembinaan yang diganggu mafia.

– Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)