Empat pasukan Liga-M lengkap proses penswastaan kelab – FAM

Empat pasukan Liga-M lengkap proses penswastaan kelab – FAM

KUALA LUMPUR,. Hanya empat pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) telah melengkapkan proses penswastaan kelab ketika ini, menjelang tarikh akhir yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada September depan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam tanpa mendedahkan butiran terperinci berkata 12 lagi pasukan sedang giat melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) itu, sementara enam pasukan belum memulakan proses berkenaan setakat ini.

“Proses penswastaan ini dipantau AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan kemungkinan FA yang tidak dapat menukar status kepada FC untuk bersama liga tahun depan, akan menghadapi masalah yang besar. FAM memerlukan kerjasama semua pihak.

“Terdapat beberapa fasa dalam perubahan FA ke FC dan tahun ini merupakan fasa penubuhan FC secara rasmi. FAM mahu pastikan proses itu berjalan juga tahun ini dan selepas itu baru fasa peralihan pengurusan dan tanggungjawab,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Stuart berkata penularan pandemik COVID-19 dan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri yang berlaku sejak Mac lepas juga telah mempengaruhi proses penswastaan kelab.

Bagaimanapun, beliau berkata FAM sentiasa bersedia memainkan peranan dalam membantu FA melengkapkan proses itu mengikut ketetapan dibuat.

“Ada kelewatan disebabkan COVID-19 dan disebabkan berlakunya perubahan pengurusan beberapa FA. Dengan kelewatan itu, FAM akan kerja lebih keras untuk memberi sokongan kepada mana-mana FA untuk proses ini dilaksanakan musim ini,” katanya.

Penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )