Enam telco dijangka pegang kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional

Enam telco dijangka pegang kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional

PUTRAJAYA,. Enam syarikat telekomunikasi dijangka memegang kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan infrastruktur 5G negara melalui model Rangkaian Borong Tunggal (SWN), menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Hari ini (30 Jun) merupakan tarikh akhir untuk telco memuktamadkan kontrak rangkaian 5G dan urusan ekuiti di syarikat tujuan khas tersebut.

Annuar berkata pengumuman rasmi mengenainya akan diadakan pada 8 Julai.

“Sabar, ia akan hanya mengambil masa tujuh hingga lapan hari lagi untuk membuat pengumuman rasmi.

“Apa yang boleh saya katakan ketika ini, semuanya (berlangsung) mengikut rancangan. Rundingan telah dibuat dan mereka telah mencapai kesefahaman yang pasti dan kesemuanya akan diputuskan pada 8 Julai,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Annuar berkata hanya telco yang mengendalikan rangkaian akan menyertai DNB.

“… akan ada enam telco, hanya yang mempunyai rangkaian. Tiga (yang lain) mempunyai spektrum, tetapi tidak mempunyai rangkaian,” katanya tanpa memaklumkan nama telco berkenaan.

Merujuk pengagihan ekuiti itu, beliau berkata setiap telco akan memegang jumlah saham yang sama dalam DNB.

“Kami menawarkan semua (telco) (sebanyak) 70 peratus (ekuiti) dan ia akan dikongsi sama rata, dibahagikan mengikut jumlah peserta,” katanya sambil menambah, segala kebimbangan berhubung ketelusan dan penetapan harga bagi tawaran akses rujukan telah ditangani.

Pada 15 Jun, Annuar dilaporkan berkata akan mengeluarkan lesen baharu kepada pemain-pemain baharu sekiranya bilangan syarikat yang menyertai pelaksanaan 5G adalah tidak mencukupi.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Cisco International Ltd.

TM dan Cisco, selaku peneraju teknologi di serata dunia mengumumkan perkongsian strategik baharu sebagai sebahagian daripada program Pemecut Digital Negara Cisco bagi memperkasa hasrat Malaysia untuk menjadi negara berteras teknologi dan peneraju digital serantau.

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian kerjasama untuk membuka laluan kepada projek utama yang tertumpu untuk membantu negara membangunkan platform inovasi 5G serta mempercepat pengunaan teknologi dan transformasi kepada perusahaan kecil dan sederhana.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)