Ervin berazam lakukan yang terbaik pada golf Terbuka Malaysia

Ervin berazam lakukan yang terbaik pada golf Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR,. Pemain golf negara, Ervin Chang berazam melakukan yang terbaik apabila turun beraksi pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan, dekat sini, bermula Khamis ini.

Pemenang dua pingat emas di Sukan Sea Hanoi 2021 itu berkata, secara mental beliau sudah bersedia memberi saingan sengit kepada pemain-pemain golf negara lain pada kejohanan yang juga merupakan kelayakan untuk kejohanan Terbuka British (The Open) 2024 yang berprestij.

Kejohanan The Open ke-152 dijadualkan dari 18 hingga 21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland.

The Open ialah kejohanan golf tertua di dunia, bermula pada 1860 dan menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$16.5 juta pada edisi 2023.

“Saya bekerja keras semasa di luar musim, mencuba yang terbaik untuk melonjakkan tahap kemahiran saya, penumpuan mental saya dan cuba belajar sementara menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam permainan.

“Saya berehat sehari semalam untuk menyambut Tahun Baharu Cina, saya sudah bersedia untuk bertanding sejak dua minggu lepas. Saya akan lakukan yang terbaik di sana,” katanya pada Majlis Penandatanganan Penajaan CIMB Group Holdings Berhad untuk dirinya, di sini, pada Isnin.

Ervin merupakan penerima terbaharu tajaan CIMB selepas jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.
Sebelum ini, bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David juga pernah menerima tajaan CIMB.

Pencapaian terbaik oleh pemain golf tempatan pada Terbuka Malaysia sejak penganjurannya pada 1962 ialah melalui mendiang P. Gunasegaran yang menduduki tempat kedua pada edisi 1994, selepas tewas kepada pemain Sweden Joachim Haeggman dalam aksi lapan lubang mendebarkan pada perlawanan penentuan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)