F:30 tidak gagal – Subahan

F:30 tidak gagal – Subahan

SHAH ALAM,. Pencapaian skuad Bawah 15 tahun (B-15) negara pada Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 baru-baru ini, bukan petanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal dalam menguruskan program pembangunan bakat muda di negara.

FAM dalam Pelan Hala Tuju badan induk itu, F:30, meletakkan sasaran beraksi pada Piala Dunia B-17 2021, namun misi itu tertutup selepas Malaysia gagal layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-16 AFC 2020 yang merupakan medan pemilihan terakhir ke Piala Dunia.

Lebih mendukacitakan, misi itu gagal dicapai berpunca hanya kerana skuad kendalian ketua jurulatih P.Maniam tewas mengejut 0-1 kepada Laos dalam aksi kedua Kumpulan J, sekali gus Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan mengumpul empat mata.

Sebelum itu, skuad negara membenam Kemboja 7-0 dalam aksi pembukaan sebelum menampilkan permainan berkualiti tinggi ketika seri 2-2 menentang penyandang juara, Jepun dalam aksi terakhir kumpulan.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kegagalan layak ke pusingan akhir tersebut, adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu ditempuh dalam sesuatu proses pembangunan akar umbi.

“Tanggapan bahawa F:30 gagal tu adalah tidak munasabah. Ia satu pencapaian yang mengagumkan untuk mereka (B-15) sebab daripada 19 perlawanan sejak pasukan ditubuhkan, mereka hanya kalah sekali. Lagipun pada ketika kekalahan itu (kepada Laos) ramai pemain demam…sebab itu mereka tidak dapat beraksi dengan baik.

“Bagi FAM kita tidak gagal. Kita nampak pasukan muda ini dah boleh menyaingi pasukan Jepun yang kita tahu mempunyai program pembangunan sangat baik dan menyeluruh. Jadi apa yang kita buat dalam jangka masa pendek ini sahaja, dah boleh menyaingi pasukan gergasi dunia,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berkata pada sidang media Kunjungan Hormat Delegasi FAM ke atas Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di sini, hari ini.

Pada masa sama, Subahan Kamal berkata FAM menyokong penuh kedudukan Maniam selaku pengendali skuad B-15 negara di sebalik kegagalan pasukannya itu.

“Jurulatih itu telah melakukan tugas yang baik dan bagi saya beliau (Maniam) dan bahagian pengurusan telah melaksanakan tanggungjawab dengan sangat baik. Ia bukan hanya mengenai kemenangan, tetapi pembangunan satu pasukan remaja yang kuat.

“F:30 berada pada landasan yang betul dan pembangunan pasukan remaja yang kita lakukan bersama NFDP amat baik sekali,” tambahnya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )