Facebook mahu haramkan kandungan berunsur kebencian

Facebook mahu haramkan kandungan berunsur kebencian

WASHINGTON,. Facebook semalam mengumumkan akan mengharamkan ‘kandungan berunsur kebencian membabitkan kategori lebih luas’ dalam iklan, sebagai tindak balas kepada peningkatan bantahan terhadap cara gergasi media sosial itu menangani hantaran negatif.

Ketua Eksekutif, Mark Zuckerberg, berkata Facebook juga akan menambah tag ke atas hantaran ada ‘nilai berita’ tetapi melanggar peraturan platform – mencontohi tindakan diambil Twitter yang menggunakan label sedemikian terhadap ciapan daripada Presiden Donald Trump.

Inisiatif itu diambil susulan peningkatan boikot oleh pengiklan, termasuk Unilever dan Honda, semalam, ketika aktivis mendesak tindakan lebih tegas dikenakan terhadap kandungan yang disifatkan oleh pengkritik sebagai mempromosikan keganasan, kebencian atau diskriminasi.

Zuckerberg dalam laman Facebook beliau berkata, dasar baharu ke atas kandungan berunsur kebencian dalam iklan itu akan ‘melarang sebarang dakwaan bahawa orang daripada kaum, etnik, kerakyatan, agama, kasta, orientasi seksual, identiti jantina atau status pendatang tertentu, adalah ancaman kepada keselamatan fizikal, kesihatan atau kelangsungan hidup orang lain’.

“Kami turut memperluaskan dasar untuk melindungi pendatang, migran, pelarian serta penerima suaka dengan lebih baik lagi daripada iklan yang mendakwa golongan ini berdarjat rendah atau meluahkan penghinaan, pemulauan mahupun perasaan jijik terhadap mereka,” katanya.

Facebook mengambil langkah membendung perkauman dan diskriminasi selari insiden rusuhan yang tercetus akibat kematian lelaki Afrika-Amerika, George Floyd, pada 25 Mei lalu ketika ditahan polis Minneapolis.

“Kami melabur berbilion dolar setiap tahun bagi memastikan keselamatan komuniti dan berterusan bekerjasama dengan pakar luar untuk mengkaji semula serta mengemas kini dasar sedia ada.

“Pelaburan yang telah dilakukan dalam (kecerdasan buatan) bermakna kami mengesan hampir 90 peratus kandungan berunsur kebencian dan mengambil tindakan sebelum ia dilaporkan pengguna,” kata seorang jurucakap. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)