Fahami perjanjian pengubahsuaian rumah bagi elak jadi mangsa penipuan – CIDB

Fahami perjanjian pengubahsuaian rumah bagi elak jadi mangsa penipuan – CIDB

KUALA LUMPUR,. Pemilik rumah disaran memahami syarat dan terma dalam perjanjian urusan pembinaan dengan pihak kontraktor bagi mengelak menjadi mangsa penipuan pengubahsuaian rumah.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Mohd zaid Zakaria berkata sampel perjanjian pembinaan boleh dimuat turun daripada laman web CIDB.

“Sampel perjanjian itu menyenaraikan tanggungjawab dan obligasi kontrak semua pihak yang terlibat dalam projek pengubahsuaian dan ia sangat mudah difahami.

“Selain itu, pemilik rumah juga dimaklumkan mengenai kos terkini bahan binaan, buruh serta undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap kerja-kerja pengubahsuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pelancaran video Persatuan Rakan-Industri Rekabentuk Dalaman Malaysia (MIIP) bertajuk ‘Jangan Jadi Mangsa Penipuan Kontraktor Pengubahsuaian Dalam Talian’ sebagai sebahagian daripada usaha melindungi pengguna dan integriti industri.

Turut hadir, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang menerima kira-kira 30 aduan berkaitan penipuan pengubahsuaian dengan mangsa mengalami kerugian jutaan ringgit.

Dalam ucapannya dalam majlis itu, Teresa berkata kebanyakan mangsa tidak mempunyai pengetahuan mengenai perjanjian pembinaan yang betul dan tidak tahu bagaimana untuk meminta agar satu perjanjian dibuat semasa rundingan menjalankan projek pengubahsuaian.

“Justeru, saya menghargai CIDB kerana berusaha mewujudkan contoh perjanjian pembinaan dan mendidik orang ramai khususnya pemilik rumah mengetahui hak asas mereka dalam perkara ini,” katanya.

Pemilik rumah atau kontraktor yang menghadapi isu berkaitan projek pengubahsuaian disaran membuat aduan kepada CIDB di talian 03-55673300 atau mengisi borang e-Bantuan di https://www.cidb.gov.my/e-bantuan/.

Video tersebut boleh ditonton di laman rasmi MIIP di https://miip.com.my adan platform media sosial mulai lewat malam ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)