Faktor calon antara aspek tentukan kemenangan PH di Tanjung Piai

Faktor calon antara aspek tentukan kemenangan PH di Tanjung Piai

KULAI,. Faktor calon yang sesuai disifatkan antara faktor yang boleh menentukan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai, kata Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Beliau berkata, siapapun calon yang dipilih, PKR Johor bersedia memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada calon dari Pakatan Harapan (PH) yang dipilih untuk bertanding di Tanjung Piai nanti.

“Saya tidak tahu siapa yang akan mengisi kerusi itu sehingga PH bermesyuarat. Tunggu apa akan berlaku dan siapa juga yang akan mengisi kerusi itu dari mana-mana parti, kita sedia membantu. Kita tunggu PH bermesyuarat nanti baru la kita tahu, saya pasti akan ada sidang akhbar selepas itu.

“Saya tidak mahu cakap sama ada ada keyakinan atau tidak untuk menang kerana itu terletak kepada pengundi dan calon. Lagipun calon pun tidak ada lagi dan terlalu awal tetapi yang penting kita kena buktikan kepada rakyat kita bersedia untuk bekerja dan tunjuk report card (prestasi) kita selama setahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam 2019 di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, satu mesyuarat melibatkan semua ketua cabang PKR Johor bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berlangsung esok di Kuala Lumpur manakala mesyuarat bersama semua pemimpin Pakatan Harapan Johor yang diketuai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual berlangsung Jumaat hadapan di Pagoh.

Puah turut menyifatkan Ahli Parlimen Tanjung Piai iaitu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik telah meletakkan satu aras yang tinggi memandangkan Dr Md Farid seorang yang profesional dan muda, justeru calon yang akan bertanding nanti harus setanding dengan calon sebelumnya.

“Arwah sudah letak aras yang tinggi jadi calon untuk PH kena cari orang yang mesra rakyat dan sedia berkhidmat dan kalau boleh, seorang yang dalam golongan muda serta calon tempatan yang boleh faham isu rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai keyakinan PH untuk mengekalkan kerusi parlimen itu.

Mengulas mengenai calon Barisan Nasional (BN), beliau berkata ia sesuatu yang ditunggu memandangkan beliau percaya BN akan meletakkan calon dari gabungan UMNO-PAS untuk bertanding dalam PRK itu nanti.

“Ia amat menarik mengenai siapa akan mewakili BN kerana sehingga sekarang, Presiden MCA Wee Ka Siong tidak pula berkata kerusi itu milik MCA, suatu yang amat pelik. Dalam sejarah hanya MCA selalu bertanding di sana tetapi beliau tidak pernah berkata kita akan pertahankan, MCA Johor tak sebut, BN pun tak sebut.

“MCA Tanjung Piai cuma kata kalau saya bersedia tetapi di pihak lain UMNO Tanjung Piai kata sedia bertanding dan Presiden Umno kata bersedia nak bertanding jadi ada sesuatu yang tidak kena jadi pada pandangan saya MCA tak akan bertanding,” kata beliau.

“UMNO akan gunakan muafakat dengan PAS untuk menguji keadaan jadi kemungkinan besar ia calon dari UMNO kerana cara mereka (MCA) mengendalikan isu ini nampak mereka tidak akan letak calon,” katanya.

Kerusi parlimen berkenaan kosong setelah kematian mengejut Dr Md Farid pada 21 Sept berikutan komplikasi jantung.

Dalam perkembangan berlainan, Puah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan & Utiliti negeri yakin projek Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) yang ditangguh sebulan lagi akan diteruskan.

Katanya, beliau percaya penangguhan RTS selama sebulan hanya untuk menyelesaikan isu teknikal.

“Saya masih yakin RTS akan diteruskan, saya beranggapan positif susulan penangguhan itu kerana ia hanya sebulan dan bukannya enam bulan lagi. Saya percaya mereka sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu teknikal jika tidak sudah tentu mereka akan menamatkannya dan mungkin ini berhubung kadar tambang, apakah kadar ideal itu, jadi saya lihat secara positif dan orang awam juga patut lihat secara positif.

“Kita masih ambil pandangan RTS amat-amat diperlukan di Johor dan berharap Kerajaan Persekutuan boleh faham dengan sentimen ini dan bekerjasama dengan kita,” katanya yang menambah isu RTS mungkin akan dibangkitkan ketika PRK Tanjung Piai memandangkan sebahagian masyarakat di sana bekerja di Singapura.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)