
FAM Belum Putuskan Status Presiden Kehormat, Hamidin Terus Dihormati
KUALA LUMPUR, 20 Mac 2025 – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa tiada sebarang keputusan dibuat berhubung penubuhan jawatan Presiden Kehormat, meskipun nama Tan Sri Hamidin Mohd Amin dikaitkan dengan peranan tersebut.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, pihaknya tidak menolak sumbangan besar Hamidin dalam dunia bola sepak, terutama sebagai bekas Presiden FAM dan Ahli Majlis FIFA.
“Jika melihat kepada pengalaman beliau, memang tiada siapa boleh menafikan kepakaran Tan Sri Hamidin dalam bola sepak, dan kami sentiasa terbuka untuk menerima nasihatnya bagi memperkasakan FAM,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa FAM 2025.
Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa Hamidin akan kembali ke FAM sebagai Presiden Kehormat, selepas beliau mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden pada Disember tahun lalu.
Dalam pemilihan awal tahun ini, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dilantik sebagai Presiden baharu FAM bagi penggal 2025-2029 selepas menang tanpa bertanding.
Majlis malam ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi FAM, termasuk Timbalan Presiden Datuk S. Sivasundaram, serta Naib Presiden Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Dollah Salleh dan Saaran Nadarajah.