FAM perkenal tiket kombo RM100 saksikan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023

FAM perkenal tiket kombo RM100 saksikan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023

PETALING JAYA,. Peminat sukan bola sepak tanah air boleh menikmati harga tiket istimewa RM100 bagi menyaksikan kesemua enam perlawanan pusingan akhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil Jun ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Posa Majais bagaimanapun berkata harga tiket kombo yang menyediakan penjimatan sehingga 20 peratus itu, diperkenalkan untuk tempoh terhad menerusi pembelian awal bermula 16 hingga 29 Mei ini, secara dalam talian.

Menerusi harga tersebut, para penyokong berpeluang menonton perlawanan pasukan Bahrain menentang Bangladesh, Turkmenistan-Malaysia pada 8 Jun; diikuti Bangladesh-Turkemenistan, Malaysia-Bahrain pada 11 Jun; dan Bahrain-Turkmenistan, Malaysia-Bangladesh pada 14 Jun; bagi tiket kategori tempat duduk terbuka.

“Pengenalan tiket kombo RM100 itu, dibuat bagi memudahkan para penyokong Harimau Malaya yang ingin hadir pada ketiga-tiga hari perlawanan tersebut, tanpa perlu membuat pembelian tiket secara berasingan selain dapat menikmati diskaun harga.

“Bagaimanapun, tawaran itu hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja, menerusi www.tickethotline.com.my,” katanya pada sidang media di Wisma FAM di sini pada Isnin..

Posa berkata selepas berakhir tempoh itu penjualan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 dewasa sementara RM7 kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) bagi setiap hari perlawanan.

FAM turut memperuntukkan penjualan sebahagian tiket untuk kategori tempat duduk Grandstand yang berharga RM60 untuk satu hari perlawanan.

Beliau turut mengumumkan harga tiket bagi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 membabitkan Malaysia bertemu Myanmar pada 27 Mei dan Malaysia bertemu Hong Kong pada 1 Jun di mana kedua-dua perlawanan tersebut sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi tiga aksi kelayakan Kumpulan E nanti.

“Harga tiket yang telah ditetapkan ialah pada satu harga saja iaitu RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak bagi setiap perlawanan, tidak termasuk tambahan caj pemprosesan dan caj bank serta tiada tiket kategori Grandstand bagi kedua-dua perlawanan ini.

“Penjualan tiket perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong ini turut akan dibuka mulai 16 Mei dan sama juga syaratnya, maksimum lima tiket bagi setiap pembelian,” katanya.

Tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium membabitkan perlawanan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E serta dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 terbabit.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)