FAMA sasar kurangkan jurang import sayuran dan buah-buahan

FAMA sasar kurangkan jurang import sayuran dan buah-buahan

KUANTAN,. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk mengurangkan jurang import sayur-sayuran dan buah-buahan dari luar negara dengan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin berkata pendekatan tersebut dilihat berkesan dalam usaha untuk menjimatkan pengaliran wang ke luar negara yang meningkat setiap tahun sehingga boleh mencecah bilion ringgit ekoran peningkatan nilai pengimportan hasil tanaman.

“Pada masa ini kita import hasil pertanian dari luar negara dalam lingkungan RM50 billion dan ia meningkat setiap tahun yang sebelum ini dalam lingkungan RM47 billion.

Daripada jumlah itu, RM9 billion adalah dalam bentuk sayur-sayuran dan buah-buahan… kita berjaya mengeksport semula sebanyak RM3 billion dan ini menjadikan jurang antara eksport dan import negara ialah sebanyak RM6 billion.

Kalau kita boleh tingkatkan hasil tanaman di dalam negara, kita tak perlu import lagi dan ia pastinya dapat menjimatkan wang negara,” katanya pada Majlis Perasmian Jelajah Promosi Produk Segar Pertanian Di Bawah Program Ladang Kontrak di sini, pada Sabtu.

Jelajah selama empat hari yang berakhir esok itu membabitkan 25 peniaga membabitkan produk pertanian, produk hiliran dan makanan popular.

Mohd Anis berkata FAMA juga menyeru petani terutama peserta yang terlibat dalam Program Ladang Kontrak untuk meningkatkan hasil pengeluaran sayuran dan buah-buahan bagi mengurangkan import dari luar negara.

“Ketika ini, import yang paling banyak ialah kobis dan kelapa sementara tanaman seperti bawang, kentang dan lobak terpaksa diimport kerana tidak sesuai ditanam di negara ini,” katanya.

Mohd Anis juga memaklumkan nilai hasil Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) 2019 sehingga 31 Ogos lepas mencecah RM4 juta daripada 422 program yang dijalankan membabitkan 756 peserta.

Peserta JTDL boleh menawarkan harga berpatutan kepada pengguna iaitu antara lima ke 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran sementara pengguna berpeluang mendapatkan produk yang segar dan berkualiti, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )