Farah Ann kekalkan stamina dengan bersenam di rumah

Farah Ann kekalkan stamina dengan bersenam di rumah

KUALA LUMPUR,. Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi secara peribadi menyifatkan penangguhan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini ke tahun hadapan adalah keputusan yang baik.

Meskipun sedikit kecewa dengan berita itu, baginya kesejahteraan dan keselamatan atlet bertanding adalah lebih penting.

“Apa yang berlaku sekarang adalah satu keputusan yang betul demi kebajikan atlet dan juga dunia.

“Langkah ini perlu diambil untuk memastikan kita semua selamat dan sihat, keselamatan dunia adalah penting,” katanya kepada Wilayahku hari ini.

Farah Ann berkata, kini dia boleh memberikan tumpuan secara fizikal dan mental untuk menghadapi temasya pada garis masa yang baharu.

“Saya sedikit kecewa pada awalnya kerana sepanjang tahun ini dirancang untuk Sukan Olimpik yang dijadualkan berlangsung pada Julai, namun ia menjadi tanda tanya sama ada ditangguhkan atau dibatalkan,” kata Farah Ann yang mengakui melakukan aktiviti bersenam di rumah bagi mengekalkan kecergasan.

Atlet berusia 26 tahun itu menjelaskan, selepas keputusan terbaru itu dicapai, dia akan lebih bekerja keras serta melakukan persiapan lebih baik untuk menghadapi temasya pada 2021.

Farah Ann berjaya menamatkan kemarau 16 tahun untuk gimnas negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 malah impiannya sejak berusia lapan tahun menjadi kenyataan.

Farah Ann meraih slot ke Olimpik Tokyo 2020 pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman apabila mengumpul keseluruhan 49.898 mata untuk mengakhiri saingan kelayakan di tempat ke-59 acara individu keseluruhan.

Dia ditempatkan dalam 20 gimnas terbaik dengan tiket ke Olimpik diberikan kepada seorang gimnas bagi mewakili setiap negara.

Penularan wabak Covid-19 yang sedang menyerang dunia memaksa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menunda Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ahli Ketua IOC, Dick Pound menjelaskan, keputusan itu diambil selepas beberapa buah negara seperti Britain, Australia dan Kanada mungkin tidak dapat menghantar kontinjen mereka ke Jepun. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)