Fasa kedua bantuan bakul makanan kepada Orang Asli bermula Jumaat ini

Fasa kedua bantuan bakul makanan kepada Orang Asli bermula Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 8 April — Fasa kedua Bantuan Bakul Makanan kepada 55,000 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta bermula pada Jumaat ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Dr Abd Latiff berkata bantuan fasa kedua itu merupakan ulangan agihan daripada fasa pertama dengan penambahan kepada keluarga yang berpindah-randah dan tinggal di kampung tambahan.

Beliau berkata KPLB melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan itu sejak berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Nilai barangan yang diberikan kepada setiap ketua isi rumah adalah RM100 dan turut ditambah dengan kit kebersihan seperti antiseptik, penutup hidung dan mulut, sabun berubat serta tambahan susu tepung untuk kanak-kanak.

“Cara agihan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melalui Tok Batin atau penghulu setiap kampung dan turut dipantau oleh Pegawai JAKOA Daerah bagi memastikan agar bantuan ini sampai kepada setiap ketua isi rumah yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan ini dapat membantu meringankan beban masyarakat Orang Asli yang terjejas sepanjang tempoh PKP ini.

Dr Abd Latiff berkata bantuan fasa pertama JAKOA diagihkan kepada sejumlah 49,670 ketua isi rumah di 853 perkampungan Orang Asli di seluruh negara yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Jelasnya, sehingga kini agihan telah meliputi 725 kampung dan telah memberi manfaat kepada 34,567 ketua isi rumah.

“Dalam tempoh PKP Tahap Satu, masyarakat Orang Asli menerima bantuan daripada pelbagai pihak. Gerak kerja agihan bantuan itu telah diselaraskan oleh JAKOA Negeri dan Daerah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

“KPLB turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan individu yang  menyampaikan sumbangan,” katanya.

— BERNAMA

 

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )