Fikir Sebelum Bicara Berbaur Kebencian

Fikir Sebelum Bicara Berbaur Kebencian

Oleh : Nur Maisarah Natasha Binti Hazard

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial dan salah satunya adalah ucapan kebencian. Ia merupakan satu fenomena yang tidak dapat dihindarkan dalam era digital pada masa kini.

Secara amnya, ucapan kebencian merupakan ucapan awam yang berbentuk ketidakpuasan dan ketidaksetujuan terhadap individu atau situasi tertentu. Hal ini demikian kerana apabila seseorang berasa tidak puas hati, mereka cenderung untuk melontarkan emosi negatif yang penuh dengan kemarahan dan juga penolakan. Selain itu, perbezaan pendapat atau pandangan juga adalah salah satu sumber konflik yang menimbulkan ucapan kebencian ini.

Dalam era kebangkitan media sosial, tidak asing lagi bagi platform ini untuk dijadikan saluran utama dalam berkongsi pandangan dan pendapat malah berita dan maklumat juga boleh diakses dengan cepat. Ekoran itu, dengan wujudnya kemudahan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, X dan aplikasi yang lain secara tidak langsung hak kebebasan suara juga digunakan sepenuhnya oleh individu dalam menyampaikan pendapat, idea dan pandangan mereka tentang sesuatu perkara.

Hal ini bersangkut paut dengan ucapan kebencian jika penggunaan hak kebebasan suara itu menghasilkan kebencian sama ada secara verbal atau di dalam sidang maya tanpa ada rasa empati sesama manusia. Ia serta merta akan dianggap sebagai penyalahgunaan hak tersebut. Namun, apakah disebalik gelombang kata-kata yang menyakitkan itu dan motif sebenar individu tersebut untuk melontarkannya?

Dalam dunia tanpa sempadan dan dilindungi skrin, tercipta satu keadaan yang dipanggil anonymous atau tanpa nama yang sudah terang lagi bersuluh akan mendorong seseorang itu dengan lebih berani untuk berperilaku dengan cara yang berbeza dari alam siber berbanding dengan dunia nyata.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita haruslah memberi perhatian sepenuhnya dan membendung isu ini dari awal lagi. Oleh itu, penting untuk seseorang itu memahami cara bagaimana untuk menyampaikan atau meluahkan perasaan tanpa melontarkan sebarang ucapan yang tidak senang untuk didengar atau diterima dengan pemilihan kata-kata yang lebih bijaksana dan konstruktif.

Cuba hayati perasaan pemangsa yang menerima ucapan kebencian ini dengan duduk di dalam kasut mereka. Sedar atau tidak, ramai individu yang terkesan apabila cercaan dan kata nista dilontarkan kepada mereka seperti seolah-olah mereka mahu benda ini berlaku dalam kehidupan mereka, sedangkan tidak sama sekali.

Antara impak yang mereka tanggung termasuklah kemurungan, disisih masyarakat dan juga penurunan harga diri di atas perbuatan yang tidak bermoral ini. Kita semua saling ambil maklum bahawa semua manusia membuat kesilapan, namun ia bukan tiket untuk mana-mana pihak untuk menghukumi dan menindas mereka sesuka hati sedangkan mereka juga ada hati dan perasaan yang perlu dijaga.
Seperkara lagi, pendedahan berterusan kepada ucapan kebencian boleh mengembangkan norma sosial yang menyokong diskriminasi dan keganasan. Ini akan memburukkan lagi kitaran ketidakadilan sosial serta menghalang kemajuan ke arah masyarakat yang lebih adil dan saksama.

Dengan memiliki pendedahan awal tentang isu ini, kami pelajar komunikasi dari program MC242, Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam telah membuat keputusan untuk mengambil inisiatif dalam memberi pendedahan serta kesedaran mengenai isu ini kepada semua lapisan masyarakat.


Pelajar yang terlibat dalam One’s Aid Society 3.0: PaHATE menggayakan isyarat rasmi khas program ini

Ini merupakan langkah penting dalam menghadapi gelombang ucapan kebencian daripada terus merebak dan dipandang enteng terutama sekali kepada golongan remaja yang sedang berjinak dalam dunia yang terlalu menghakimi. Dalam pada masa yang sama, kita perlu menyedari bahawa semua individu memiliki kekuatan untuk membawa perubahan dengan mewujudkan suasana komuniti yang lebih mempromosikan nilai-nilai saling menghormati antara satu sama lain.

Lebih teruja lagi, melalui satu program yang dinamakan sebagai PaHATE ini akan diadakan di Madrasah Khairul Insan (HATI) bertempat di daerah Hulu Terengganu dengan kerjasama bekas-bekas penagih dadah yang terdiri daripada golongan lelaki yang berusia 17 hingga 65 tahun.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut serta info-info berkenaan ucapan kebencian, masyarakat maya boleh turut serta mengikuti proses dan juga perkembangan kami melalui capaian laman media sosial (Instagram atau TikTok) @onesaidsociety.

(PENULIS NUR MAISARAH NATASHA BINTI HAZARD, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.)

-Dino

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)