FINAS promosi teknologi digital menerusi e-Sport

FINAS promosi teknologi digital menerusi e-Sport

KUALA LUMPUR,. Dalam usaha pembangunan dan pendigitalan kandungan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membawakan sukan e-Sport di reruai Kementerian Komunikasi dan Digital sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di sini.

Berlangsung selama tiga hari di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil yang berakhir hari ini, Penolong Pengarah Promosi FINAS Azrina Zainal Abidin berkata aktiviti e-Sport itu adalah program di bawah unit Mediatheque yang menguruskan Museum of Moving Images.

“Melalui e-Sport, kita bawakan permainan video X-box iaitu permainan boling secara maya menggunakan kaedah virtual reality (VR), yang bertujuan memberikan pengalaman kepada pengunjung mengenai dunia permainan secara maya, dan pembangunan kandungan kreatif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi yang berminat melihat bahan berkaitan bidang perfileman dan teknologi terkini, mereka juga boleh berkunjung di muzium berkenaan di FINAS Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu, Azrina berkata FINAS turut membawakan dua pelakon popular, Naim Daniel dan Izzue Islam bagi sesi Temu Mesra pada program berkenaan.

“Kita turut menampilkan tayangan promosi enam filem tempatan yang akan ditayangkan sepanjang Disember ini iaitu Abang Adik, Syaitan Munafik, Syif Malam, The Lord Musang King, Sayu Yang Syukur dan Namatai: Kinabalu With Love,” katanya.

Seorang pengunjung, Wong Leong Kit, 48, menyifatkan kesempatan bermain secara maya sebagai satu pengalaman baharu yang menyeronokkan.

“Biasanya saya hanya main permainan video alam maya, PlayStation dua dan tiga… belum pernah lagi bermain seperti ini,” katanya.

Sementara itu di reruai sama, Digital Nasional Berhad (DNB) menawarkan pengalaman sebenar inisiatif pendidikan 5G bagi meningkatkan kesedaran masyarakat awam.

Pengurus 5G Experience Centre DNB Erika Hana Putri berkata ketersambungan 5G bukan hanya hanya membantu pengalaman belajar dengan lebih berkesan dan menarik bagi para pelajar, malah ia juga boleh memupuk pertumbuhan ekonomi.

“Pendidikan yang disampaikan dengan menggunakan peralatan alat realiti terimbuh (AR)/realiti maya (VR) membantu
pelajar memahami subjek pembelajaran dengan lebih baik, dengan menghidupkan konsep teori.. AR/VR juga boleh digunakan untuk melatih guru,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)