
Gabungan pertanian dengan pelancongan: Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang dibuka secara rasmi
TANJUNG KARANG,. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membuka Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang (TATMTK) secara rasminya kepada pengunjung.
TATMTK merupakan Taman Agroteknologi MARDI yang kesembilan ditubuhkan daripada keseluruhan sembilan taman Agroteknologi MARDI yang ada. TATMTK menawarkan tarikan yang tersendiri seperti kawasan sawah padi dan Galeri Inovasi Padi MARDI dengan berkonsepkan pusat agropelancongan yang menggabungkan lima elemen utama iaitu technology, innovation, conservation, education dan recreation (T.I.C.E.R).
Teknologi dan inovasi pertanian dipamerkan melalui plot demonstrasi tumbuhan dan pameran pengeluaran padi. Taman ini menekankan pemuliharaan, memaparkan khazanah pertanian bersejarah dan sumber genetik tumbuhan.
Elemen pendidikan dan rekreasi pula melibatkan penggunaan plot demonstrasi sebagai bilik darjah hidup dan pendekatan pendidikan pertanian. Pengunjung boleh memperoleh pengalaman aktiviti sawah seperti menanam, memancing dan amalan tradisional. Ini memberikan pengunjung bandar, terutamanya kanak-kanak, pemahaman secara langsung tentang kerja keras petani.
Majlis perasmian TATMTK yang diadakan pada Ahad lalu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Chan Foong Hin.
Menurut Foong Hin, pada tahun ini, KPKM telah meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM5 juta bagi pembangunan di bawah Geran Agropelancongan melalui tiga skop projek iaitu; membina dan menaik taraf infrastruktur serta kualiti perkhidmatan di pusat agropelancongan; program galakan promosi agropelancongan; dan program pembangunan modal insan agropelancongan.
Fokus bantuan geran ini adalah kepada golongan sasar daripada kalangan usahawan agropelancongan yang terdiri daripada petani, penternak dan nelayan untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup serta memberi impak kepada komuniti setempat. Pada tahun ini juga, sebanyak 36 pusat agropelancongan telah menerima bantuan Geran Agropelancongan berkenaan dengan agihan peruntukan berjumlah RM3.94 juta setakat bulan Jun 2023.
Menurut Foong Hin lagi, inisiatif penubuhan pusat-pusat agropelancongan di jabatan dan agensi di bawah kementerian merupakan antara platform terbaik untuk menterjemah peranan kementerian kepada rakyat bagi meningkatkan lagi penjanaan pendapatan dalam agropelancongan khususnya dalam industri padi dan beras di Daerah Kuala Selangor ini.
‘’Kementerian juga akan terus membantu petani meneroka kaedah atau teknik baharu di dalam teknologi pengeluaran padi melalui Mardi,’’ katanya.
Bersempena dengan majlis pelancaran TATMTK ini juga, Foong Hin turut mengumumkan promosi diskaun jualan tiket Taman Agro Teknologi MARDI Tanjung Karang sebanyak 50 peratus bagi semua pakej bermula hari 30 Julai 2023 sehingga 31 Ogos 2023.
Pada majlis yang sama, Foong Hin menyampaikan geran Agropreneur muda dan Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP) kepada enam penerima yang berjumlah RM192,432.00