
Gabungan pintar agensi kerajaan, IKS bantu Sabah capai matlamat majukan industri
SANDAKAN,. Gabungan pintar antara agensi kerajaan dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), berjaya membantu kerajaan negeri Sabah mencapai matlamat memajukan industri itu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata usaha itu selari dengan Pelan Transformasi Perindustrian Sabah ke arah menjadi sebuah negeri perindustrian menjelang 2030.
“Antara pelan ini ialah mewujudkan ekosistem pelaburan kondusif dan pragmatik dari segi pembuatan serta pencapaian sasaran program, dan memudah cara kemasukan pelaburan asing dan domestik ke Sabah.
“Pelan ini juga bagi mempertingkat usaha mempromosikan Sabah kepada pelabur asing dan domestik,” katanya pada Majlis Pelancaran Produk Pelancongan Persatuan IKS Beluran di sini malam tadi.
Teks ucapannya disampaikan oleh setiausaha politiknya Joisin Romut.
Tangau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, juga mengalu-alukankan persatuan berkenaan mengembangkan produk usahawan tempatan sehingga dijual di pusat pelancongan.
Katanya melalui usaha itu, produk tempatan boleh dipertingkat dari segi kualiti dan persembahan untuk lebih menarik perhatian pelancong.
“Justeru, pengeluar produk akan dapat menggerakkan proses pengilangan atau proses pembuatan produk dengan lebih teratur dan mempunyai piawaian yang tinggi,” katanya.
— BERNAMA