Gajah liar serang kebun di empat kampung Pos Belatim

Gajah liar serang kebun di empat kampung Pos Belatim

GUA MUSANG,. Beberapa pekebun membabitkan empat perkampungan Orang Asli di Pos Belatim mendakwa berdepan beberapa siri serangan gajah liar yang menceroboh dan memakan hasil tanaman mereka.

Pekebun suku kaum Temiar dari Kampung Kajak, Rahimi Dolah, 44, berkata mereka percaya ia dilakukan oleh gajah yang sama menyerang kebun di Kampung Chemal minggu lepas, berjarak kira-kira satu kilometer dari situ.

“Kali pertama haiwan itu muncul dan melakukan kerosakan di kebun saya pada 26 Nov lepas dan ia kembali semula pada malam seterusnya sehingga kini. Gajah liar ini berlegar-legar di sekitar Kampung Chemal, Kampung Cacuh, Kampung Kajak dan Kampung Kenben.

“Jarak kebun saya hanya 300 meter dari rumah. Saya bimbang jika kejadian ini berterusan bukan sahaja tanaman habis dimakan seperti pokok tebu, ubi kayu, pisang, dan sayur-sayuran, tetapi mungkin gajah liar ini akan datang ke kawasan rumah pula,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Penduduk Kampung Cacuh Kamal Pedik, 45, pula berkata kebunnya yang terletak kira-kira 500 meter dari Kampung Kajak turut menjadi mangsa serangan haiwan liar itu apabila pokok ubi dan pisang yang ditanam telah dicabut.

“Saya dan beberapa pekebun yang lain juga terperanjat melihat keadaan kebun kami di sini. Anak pokok kelapa juga ditumbangkan gajah itu.

“Ini sahaja bekalan makanan kami untuk musim hujan ini. Kita sudah buat laporan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) jadi harap pihak yang berkenaan dapat mengambil perhatian masalah kami di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah mendapat laporan berhubung kejadian terbaharu itu dan yakin Perhilitan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebagaimana kita sedia maklum, Perhilitan telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dalam kejadian serangan haiwan liar sebelum ini, kami juga memberikan kerjasama yang baik.

“Mengikut bidang kuasa Jakoa, kami akan menyegerakan bantuan dari segi pemberian bakul makanan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)