
Gangguan Air Tidak Ganggu Persekolahan di Pulau Pinang, USM Ambil Pendekatan Bekerja dari Rumah
GEORGE TOWN – Sekolah-sekolah di Pulau Pinang akan tetap beroperasi seperti biasa walaupun menghadapi gangguan bekalan air selama empat hari bermula 25 April ini.
Menurut Wan Sajiri Wan Hassan, Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, pihaknya telah memastikan setiap sekolah membuat persiapan secukupnya, termasuk menyediakan simpanan air bagi memastikan aktiviti persekolahan tidak terjejas.
“Kami telah berpengalaman dalam situasi sebegini dan telah mengambil langkah proaktif untuk memastikan sekolah dapat terus berfungsi tanpa gangguan besar,” ujar beliau.
Gangguan bekalan air ini melibatkan kira-kira 341,708 akaun pengguna, berpunca daripada projek naik taraf sistem bekalan air bernilai RM25 juta di Loji Rawatan Air Sungai Dua.
Di pihak Universiti Sains Malaysia (USM), Naib Canselornya, Prof Dato Seri Dr Abdul Rahman Mohamed memaklumkan bahawa pihak universiti telah mengeluarkan arahan bekerja dari rumah untuk warga kampus bagi mengurangkan tekanan ke atas sistem air kampus.
Selain itu, USM turut memastikan penghuni asrama mendapat bekalan air yang mencukupi dengan kerjasama PBAPP bagi pengangkutan air melalui lori tangki, serta melaksanakan pembelajaran secara hibrid sepanjang tempoh tersebut.