Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

KOTA BHARU,. Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka membentangkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 pada bulan ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) berkaitan garis panduan tersebut ketika ini di peringkat akhir perincian sebelum diumumkan.

“Kami mengambil kira semua pandangan termasuk daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia penting supaya guru-guru dan murid sekolah berada dalam keadaan selamat dan terhindar daripada wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Radzi berkata SOP tersebut turut melibatkan aktiviti kokurikulum di sekolah yang sebelum ini hanya dibenarkan diadakan di kawasan sekolah sahaja.

“Selain itu, bagi pelajar tinggal di asrama yang mempunyai kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19, namun tidak bergejala mereka tidak perlu menjalani kuarantin kendiri dan boleh hadir ke kelas seperti biasa.

“Kami harap semua masyarakat termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan supaya pelajar ini dapat belajar secara bersemuka seperti biasa tanpa menggunakan sistem penggiliran lagi,” katanya.

Seramai 130,177 pelajar dari Kumpulan A melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan hari ini secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)