GDRN terima sumbangan RM95.4 juta untuk tangani COVID-19

GDRN terima sumbangan RM95.4 juta untuk tangani COVID-19

KUALA LUMPUR, 28 April — Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau GDRN telah menerima sumbangan sebanyak RM95.4 juta daripada GLC, GLIC serta sektor swasta dalam usaha memerangi COVID-19.

Sejumlah RM79.8 juta daripada jumlah sumbangan telah digunakan bagi menyokong hospital di bawah Kementerian Kesihatan untuk membeli bekalan perubatan dan RM15.6 juta lagi dibelanjakan bagi bantuan kemanusiaan.

“Daripada RM79.8 juta itu, sejumlah RM52.3 juta dalam bentuk bekalan perubatan telah dibeli secara langsung oleh anggota GDRN.

“Manakala peralatan perubatan bernilai RM27.5 juta telah dibeli melalui Pharmaniaga Bhd yang menyelaraskan perolehan, pergudangan dan pengedaran bekalan perubatan berkaitan ke hospital awam termasuk institusi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut GDRN, sumbangan bekalan perubatan merangkumi 138 ventilator, 35 alat pemantau pesakit, 1,738 baju senyawa, 56,200 perisai muka pakai buang serta 140 sukarelawan perubatan.

Selain daripada bekalan perubatan, GDRN turut menyediakan makanan, air, barangan kebersihan, baucar tunai, barangan perlindungan peribadi (topeng, sarung tangan, sanitasi), sokongan logistik, pergerakan sukarelawan, melalui organisasi bukan kerajaan (NGO) dan komuniti kepada golongan B40 serta mereka yang terpinggir.

“Bekalan perubatan dan bantuan bukan perubatan yang disumbangkan oleh GDRN telah diedarkan ke pelbagai lokasi di seluruh negara termasuk 55 hospital, 19 pusat kesihatan, sembilan universiti dan Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)