GEM yakin penubuhan SEGiM bantu lindungi penggiat industri gig

GEM yakin penubuhan SEGiM bantu lindungi penggiat industri gig

KUALA LUMPUR,. Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) yakin penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dapat menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri gig.

GEM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan penubuhan tersebut merupakan keperluan bagi membolehkan kerajaan membantu warga penggiat e-hailing dan p-hailing dengan lebih efektif.

“Kami yakin, Kerajaan Perpaduan dapat menoktahkan segala isu dan permasalahan berpanjangan di dalam mengawal selia ekosistem industri ekonomi gig secara komprehensif dan holistik melalui penubuhan SEGiM,” menurut kenyataan itu.

Menurut GEM semasa program Temu Anwar bersama Belia P-hailing di Petaling Jaya semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen yang dilihat senada dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini.

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan penggulungan presiden pada Perhimpunan Agong UMNO 2023 pada Jun lepas berkata Anwar secara dasarnya telah bersetuju dengan saranan UMNO untuk menubuhkan SEGiM.

Pada 17 Julai lepas, beliau turut dilapor berkata bahawa penubuhan suruhanjaya itu dijangka diumum perdana menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen, Oktober depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )