Glomac lancar hartanah bernilai RM903 juta dalam separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR,. Glomac Bhd mahu mempercepatkan kadar pelancaran terbaharu syarikat itu dalam separuh kedua tahun kewangan sekarang yang berakhir pada 30 April 2020, merangkumi pelbagai jenis produk dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM903.0 juta.

“Pelancaran akan datang akan kekal di dalam segmen pasaran pertengahan serta mampu milik, sementara projek kediaman bertanah di bandar seperti Saujana Perdana dan Saujana KLIA terus mengekalkan jualan yang kukuh,” kata pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan sempena dengan pengumuman keputusan suku pertama tahun kewangan 2020.

Glomac hari ini mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM 3.46 juta bagi suku berakhir 31 Julai 2019, naik daripada RM 1.01 juta pada tahun sebelumnya, di atas hasil yang lebih rendah sebanyak RM 51.87 juta.

Sehingga 31 Julai, kunci kira-kira kekal mantap dengan kedudukan tunai berjumlah RM 159.9 juta.

Penggearan bersih masih “boleh diuruskan” iaitu 0.28 berbanding dana pemegang saham sebanyak RM 1.1 bilion, manakala aset bersih sesaham berjumlah RM 1.41, kata syarikat tersebut.

“Dalam tempoh terdekat, sektor hartanah dijangka kekal mencabar berikutan pertumbuhan gaji yang perlahan serta polisi pinjaman yang lebih ketat terus memberi kesan kepada jualan.

“Bagaimanapun, kumpulan terus optimistik bahawa portfolio yang kukuh bagi pembangunan berpotensi dengan GDV sebanyak RM8 bilion akan mampu menempatkan kumpulan dalam kedudukan yang baik bagi terus menawarkan produk kepada pasaran massa jika keadaan pada masa akan datang bertambah baik,” katanya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )