Gol pendahuluan Selangor ranap semangat juang The Fighters

Gol pendahuluan Selangor ranap semangat juang The Fighters

MARAN,. Kejayaan skuad Selangor menguasai permainan dan meledakkan gol pendahuluan meranapkan semangat juang Felda United untuk mencatat kemenangan pada aksi Kumpulan D di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, Rabu malam.

Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan mengakui mereka turun ke gelanggang dengan menyedari The Fighters menggalas tekanan besar untuk menang bagi meneruskan kemaraan dan peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan pelawat itu.

Beliau juga menyifatkan pasukannya berhak untuk menang berdasarkan kemampuan mengawal perlawanan berbanding Felda United yang dilihat hilang fokus dalam tempoh singkat.

“Hanya 10 minit pertama sahaja Felda United mengawal permainan dan pemain mereka, Muhammad Hadin Azman berupaya menggelecek dua tiga orang pemain kita yang agak hormat kepada pasukan lawan.

“Bagaimanapun disiplin pemain membolehkan kita bangkit semula dan menjaringkan gol pertama yang menyebabkan pasukan lawan tidak boleh bermain seperti biasa atau melakukan serangan balas, ” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada aksi itu, Selangor menewaskan Felda United 2-0 dengan membuka tirai gol menerusi pemain import Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi seawal minit ke-16.

Rakan sepasukan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri menambah jaringan pada saat-saat akhir iaitu minit ke-72, yang sekaligus melayakkan Red Giants mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia untuk bertemu Perak.

Satiananthan juga memuji anak buahnya yang tidak tertekan di atas padang walaupun sudah diletakkan sasaran untuk layak ke suku akhir kempen Piala Malaysia.

Sementara itu, pengendali Felda United Mohd Nidzam Jamil berkata mereka akur dengan kekalahan itu dan mengakui gol pertama Selangor ‘menghukum’ pemainnya sehingga menyebabkan corak permainan mereka tempang.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa atas kegagalan itu kerana tahu pemain sudah memberikan yang terbaik. Bukan mudah untuk kita bangkit apabila gawang sudah dibolosi, apatah lagi dengan pasukan elit seperti Selangor.

“Kita cuba mengubah corak permainan pasukan tetapi masih tidak berjaya untuk mencipta gol… bagaimanapun, saya gembira dengan prestasi pasukan sepanjang musim ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )