Gol penyamaan bangkit semangat Sarawak United raih kemenangan

Gol penyamaan bangkit semangat Sarawak United raih kemenangan

KUANTAN,. Gol penyamaan selepas ketinggalan pada awal perlawanan menjadi permulaan untuk pemain Sarawak United FC terus berjuang sehingga berjaya menundukkan tuan rumah Sri Pahang FC 2-1 pada saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Keputusan itu sekali gus melayakkan Sarawak United menempah slot ke suku akhir bagi Kumpulan A dengan mengutip sembilan mata sementara Sri Pahang tersingkir dengan enam mata.

Ketua Jurulatihnya, E. Elavarasan berkata gol awal yang diledakkan pasukan tuan rumah seawal minit ke-13 menyebabkan mereka tersentak sehingga pemain Sarawak United beraksi dalam situasi serba tidak kena.

“Gol penyamaan kembali menaikkan semangat juang pemain untuk bertahan hingga akhir perlawanan sebelum berjaya mendapat gol kedua yang boleh dikatakan nasib kerana dijaringkan dengan hanya melancarkan satu serangan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, gol tunggal Sri Pahang dijaringkan oleh penyerang import, Kenjok Wal Athiu pada minit ke-13 sebelum penyerang import Sarawak United Sandro Da Silva Mendonca menyamakan kedudukan pada minit ke-31 manakala gol kemenangan dijaringkan Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-92.

Elavarasan berkata pemainnya turun pada perlawanan itu dengan strategi utama mahu mengelakkan kekalahan kerana ia boleh menutup peluang mereka untuk meneruskan kemaraan pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang Dollah Salleh berkata anak buahnya sudah memberikan yang terbaik di atas padang walaupun terdapat beberapa kekurangan sehingga membawa kepada kekalahan di laman sendiri.

“Apabila Sarawak menyamakan keputusan, pemain kita terikut-ikut dengan rentak pemain lawan yang memperlahankan permainan yang kita sepatutnya terus menyerang.

“Pada waktu rehat sebelum bermula separuh masa kedua juga saya pesan mereka tidak boleh bermain sedemikian kerana ia mengganggu permainan tetapi ia masih berlaku sehingga akhirnya kita tewas,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)